Klik?

Maha Suci Allah

Maha Suci Allah
Powered By Blogger

Kata saya...

MAAF. MAAF. MAAF.

1. Andai terlewat update.
2.Andai terlalu pendek.
3.Andai tak memuaskan hati.
Showing posts with label Jangan sentuh hatiku. Show all posts
Showing posts with label Jangan sentuh hatiku. Show all posts

Sunday, February 9, 2014

Jangan Curi Hatiku 7

7


Pertama kali dia masuk ke rumah teres ini, empat hari lepas untuk menjalani upacara akad nikah. Tak sangka pula, kali ini dia masuk untuk kali kedua, tapi sebagai seseorang yang tak pasti dengan status sendiri.
Nak dikata menantu, orang yang menjadikan dia bergelar menantu tu dah melarikan diri entah ke mana yang dia takkan cari walau sekali pun.
Nak dikata tetamu, dia dah lafazkan akad nikah dengan anak tuan punya rumah ni.
Selesai saja Kak Habsah mengemaskan segala macam keperluan asas Puan Aisya ke dalam sebuah beg pakaian, wanita berdua itu segera dibawa menuju ke Taman Wawasan. Rumah teres milik keluarga Ikmal yang disewanya itu sudah siap berkemas dengan segala macam perabot.
Jadi Kak Habsah tak perlu nak bersusah-payah mengemas lagi. Tugasnya selepas ini cuma memastikan kebajikan Puan Aisya terjaga dengan sempurna. Itu saja.
Kerusi roda yang diduduki Puan Aisya ditolak perlahan-lahan ke ruang tamu. Puan Aisya masih dengan kebisuannya, langsung tak beriak dibawa ke mana sekali pun.
“Encik Bad, pakaian Puan Aisya ni nak letak di mana?.”
“Oh, letak aje dulu! Nanti-nanti Kak Habsah tolong bawa naik atas, simpan dalam bilik mak.”
Tadi selepas dia singgahkan Bazli di kondo, barulah dia ke rumah Kak Habsah. Menjemput bekas pekerjanya yang baik hati dan lemah-lembut ini untuk dijadikan teman Puan Aisya. Itu pun memang rezeki dialah dapat pujuk Kak Habsah.
Rupa-rupanya sebelum ni Kak Habsah tengah bercadang nak ikut saja anak bongsunya yang buat bisnes dekat Kelantan nun sebab dia sunyi duduk seorang diri di sini.
“Kak Habsah.” Badri memanggil sebaik saja ternampak kelibat Kak Habsah menuruni anak tangga.
“Ya, encik?.”
“Ni, saya tinggalkan mak dengan Kak Habsah ya. Saya keluar belikan barang dapur sekejap. Ada apa-apa Kak Habsah nak kirim ke? Saya belikan.” Ramah dia menawarkan bantuan.
Dia tak periksa pun dekat dapur tu ada bahan basah atau kering lagi ke tidak kerana kata Ikmal, adik lelakinya baru saja mengosongkan rumah ini dan adik lelaki Ikmal tu jenis yang rajin memasak sendiri di rumah.
Kak Habsah menggeleng laju. Dia dah siap-siap beli barang keperluan peribadinya dengan Hasurah yang datang nak mengajak dia tinggal bersama di Kelantan minggu lepas.
“Kak Habsah tak ada apa nak beli dah, encik.”
“Betul tak ada?.”
Senyum kecil Kak Habsah ditanya begitu. Tegas-tegas Badri sewaktu di pejabat dulu, dia tahu sifat prihatin dan pemurah majikannya yang seorang ni. Badri memang tak suka berkira dengan sesiapa pun.
“Insyaallah tak ada apa lagi yang kurang setakat ni, encik.” Yakin dia menjawab.
Badri angguk puas hati. Selepas mengucap salam, langkahnya dibawa menuju ke arah Honda Odyssey yang diletak di depan pintu utama. Sengaja dia bawa kereta lebih besar untuk menjemput Puan Aisya tadi supaya senang nak membawa Puan Aisya keluar dari kereta walaupun dia tak selesa nak mengguna kereta begitu.





“Lamanya hantar dia.”
Niat hendak melangkah naik ke bilik terhenti di depan tangga. Melihat Datin Asma duduk berpeluk tubuh di sofa, Badri halakan langkah kaki ke arah mamanya.
“Bad belikan barang-barang sikit untuk mak.” Marah-marah pun, benci-benci pun, dia masih ada rasa kesian dengan Puan Aisya yang dah disahkan lumpuh separuh badan tu. Tak sampai hati pula tinggalkan saja Puan Aisya duduk seorang di rumah.
“Belikan barang?.”
Dia angguk. Punggung dibawa duduk ke sofa sambil kepala terus direbahkan ke belakang. Penat. Jiwa dan raga.
“Bad tak payah nak susahkan diri jaga orang tua tu, Bad. Kita dah tak ada kaitan dengan dia lagi.”
“Ma?.”
Dengus kasar Datin Asma dipandang dengan mata masih separuh terpejam. Hari tu, bukan main mamanya memaksa dia kahwin dengan anak Puan Aisya tu. Alih-alih dah jadi begini, dia disuruh jangan pedulikan Puan Aisya pula.
“Mama nak, Bad cepat-cepat uruskan permohonan cerai korang. Bad ceraikan aje perempuan tak senonoh tu.”
“Bukan dia anak orang baik-baik ke, ma? Bukan anak ustazah?.” Sarkastik Badri membalas.
Terherot bibir Datin Asma disindir anak sendiri. Tahulah, memang salah dia sebab memandai-mandai memaksa Badri menikah dengan Auni Zara. Iyelah, dia cuma kenal Auni Zara tu sebagai anak bekas guru mengajinya. Haruslah dia fikir yang baik-baik sebab Puan Aisya tu baik budi-pekerti.
Tapi dah Allah swt nak beri ujian. Nak buat macam mana.
“Mama tahulah salah mama. Tapi sekarang ni, mama nak Bad cepat-cepat ceraikan dia. Tak ada faedah simpan isteri tak guna macam tu. Buat tambah dosa Bad aje.” Cemuhnya dengan dada meluap marah.
Kalau dia tahu Puan Aisya tak pandai didik anak dara sendiri dengan agama, beri percuma pun dia tak nak terima Auni Zara tu jadi menantu.
“Bad!.”
“Hurmm.”
“Dengar tak apa mama cakap ni? Bad jangan lambat-lambat. Karang benda lain pula yang jadi.” Mana tahu perempuan tu tiba-tiba datang dengan air mata tak berhenti mengalir pada Badri minta simpati?
Kan?
Manalah tahu.

Jadi sebelum benda luar alam begitu berlaku, eloklah Badri cepat-cepat ke pejabat agama dan uruskan perceraian dengan Auni Zara, perempuan yang dia takkan maafkan sampai bila-bila sebab dah memalukan keluarganya dan Badri Afif.





#Sekadar iklan. Sesiapa yang berminat nak beli novel kedua saya, Susun Silang Kata, boleh PM saya kat FB Pen Patah atau boleh tinggalkan komen kat bawah. Saya beri free postage dan harga lebih murah. Kalau nak, boleh juga saya turunkan sign tak berapa nak cantik saya kat situ. ^-^

Sunday, March 3, 2013

Jangan Sentuh Hatiku 20 ~ L.E

Kerbau dipegang pada tali,
Manusia dipegang pada janji.

~ Selamat membaca....jangan lupa doakan negeri saya yang tengah bergolak~



20
Abah sedang duduk menghirup kopi panas di depan televisyen semasa dia merapatkan pintu. Saif pula sibuk menulis di meja makan.
“Assalamualaikum.” Suraya letak tote bag di atas sofa sebelum mencapai tangan abah lalu disalami.
“Waalaikumsalam. Dah makan?.”
Suraya geleng kepala. Mana sempat hendak makan tadi. “Along minta maaf sangat-sangat sebab tak dapat balik awal, abah.”
Tadi sebaik saja En. Naufal menyuruhnya memanggil Nur Ain, Suraya sempat juga capai Blackberrynya dan memberitahu abah yang dia terpaksa menyiapkan kerja yang tiba-tiba saja hendak disiapkan.
Mujurlah abah macam biasa, tak banyak soal dan menyuruhnya hati-hati pulang nanti. Malah abah siap offer diri datang menjemput kalau-kalau Suraya takut pulang seorang.
Abah melipat surat khabar yang terbiar begitu saja di atas meja kopi tadi. “Tak apa. Abah faham.”
“Semuanya okey ke, abah? Mana umi?.”
“Umi tengah panaskan lauk untuk along tu. Pergilah makan. Tadi dengar saja bunyi enjin kereta along, umi dah terus masuk dapur.” Ujar abah sambil menjuih bibir ke arah dapur. Tadi memang isterinya itu cepat-cepat memanaskan lauk sebelum Suraya tukar fikiran tak mahu makan malam.
Suraya menjungkit kening dengan senyum senang.“Iya ke, abah? Allah, susahkan umi saja.”
Tapi langkahnya dibawa juga masuk ke dapur. Sempat dia cuit pipi Saif yang serius sungguh menyiapkan tugasan latihan topikal Matematik Tambahan.
“Umi.”
Umi yang sedang ralit menyusun bekas berisi lauk-pauk di atas meja segera menoleh. Apron dipakai ditanggal lalu disangkut pada tepi peti sejuk. “Along, umi dah siapkan semua pun. Mari makan.”
Suraya merapat ke meja makan. Bau ketam masak mentega dilawan pula oleh bau sayur goreng cendawan membuat laju saja tangannya mencedok nasi ke pinggan.
“Umi dah makan?.” Soalnya apabila ibu ikut duduk di hadapannya.
“Kami semua dah kenyang. Umi siap masak istimewa lagi. Sekali along pula tak dapat balik awal. Tak dapat jumpa tetamu abah tadi.”
Tangannya diraup ke muka. Selesai membaca doa, dia celupkan tangan ke dalam mangkuk. Suraya senyum kecil memandang umi. “Along minta maaf sangat, umi. Ada kerja pula saat-saat akhir tadi.”
“Tak apa. Along makanlah dulu. Umi nak kemas barang-barang tu dulu. Pinggan tak lap lagi tu. Sumayyah tak tahu dah buat apa dekat atas tu. Tetamu balik saja, dia pun lesap naik atas.”
Lauk ketam dicedok sikit. Suraya korek sikit isi ketam yang terkeluar dari cengkerangnya yang keras itu. Umi kalau memasak, memang sedap.
Tapi Suraya sudah tak berapa berselera kalau lewat makan. Mujur dia cuma ambil nasi suku pinggan. Itu pun susah-payah dia habiskan.
“Alhamdulillah. Sedap umi masak malam ni.” Pujinya. Pinggan yang sudah kotor diangkut ke sinki. Dibasuh kemudian dilap sebelum disusun di dalam kabinet. Lauk-pauk yang masih berbaki dia salin ke dalam bekas bertutup. Boleh simpan di dalam fridge. Esok-esok boleh panaskan semula.
“Dessert umi buat tadi sedap sangat. Sampai licin adik-adik along kerjakan.”
Suraya ketawa kecil mendengar ocehan ibunya. “Umi buat apa?.”
“Puding marble. Tak merasalah along makan.” Dia sudah ingatkan Saif dan Soleh tinggalkan sedikit untuk Suraya tapi bila melihat kedua-duanya makan bersungguh sangat, dia pun jadi tak sampai hati nak melarang lebih-lebih. “Nanti esok-esok umi buatkan lagi. Tak apa kan?.”
“Tak apalah, umi. Along tak kisah pun.”
Meja makan dikerling sekali lagi. Pasti yang semuanya sudah selamat dikemas, baki makanan pula sudah disimpan, dia segera minta diri mahu naik ke bilik.
“Along.”
“Ya, umi?.” Langkahnya terhenti di meja makan.
“Umi dan abah ada hal nak bincang dengan along. Boleh kita bercakap dekat luar?.”

Sunday, February 24, 2013

Jangan Sentuh Hatiku 19


Dear korang yang disayangi,
Macam yang aku cakap sebelum ni, cite ni aku ingat nak bukukan. Jadi aku memutuskan untuk menjadikan episod 20 sebagai episod terakhir akan dipaparkan di sini. Harap maklum.
19
“Alhamdulillah.”
Suraya terus bangun. Mengumpul helaian-helaian kertas yang sudah selamat dia cetak menggunakan Canon Printer itu.
En. Naufal dan Nur Ain pula sudah mula menghirup sisa air kopi yang belum habis diminum. Sesekali mata En. Naufal mengikut pergerakan tangan Suraya mengumpul, meratakan susunan kertas kemudian staple kertas kerja itu. Binding tape warna gelap dia lekatkan penuh hati-hati.
“Dah?.”
Suraya lekas mengangguk. Kertas kerja itu dia hulur pada Nur Ain yang akan berjumpa dengan Puan Haziqah awal pagi esok.
“Nampaknya bolehlah saya balik dulu kan, encik?.” Nur Ain terus bangun. Kertas kerja itu dia susun sekali di atas barang-barang yang dia bawa ke mari tadi.
“Oh ya! Boleh..boleh. Maaf terpaksa curi masa Puan Ain dan Suraya malam ni.” Ujar lelaki yang sudah melipat lengan kemejanya hingga ke siku itu.
Tadi sempat juga mereka bertiga solat maghrib berjemaah. Sedapnya alunan bacaan surah-surah al-quran yang dibaca En. Naufal sampai sekarang masih melekat dalam fikirannya. Untunglah Cik Sharifah Aqila dapat berimamkan En. Naufal nanti.
Nur Ain segera berlalu ke biliknya selepas mengucap salam. Suraya pula lekas-lekas mengemas tiga biji cawan yang sudah kotor lalu diangkut ke pantry.
Laju saja dia menyiapkan kerjanya. Cawan-cawan itu disusun elok-elok di dalam kabinet sebelum dia matikan segala suis. Laci meja dibuka. Suraya capai tote bag dan Blackberry di situ.
“Dah siap?.” Suara garau itu kedengaran mendekat.
Suraya angkat mukanya dan mengangguk. En. Naufal sudah sedia mengunci pintu biliknya. Suraya pandang lagi semua suis. Bila pasti semuanya sudah ditutup barulah dia mula bergerak.
Lif yang kosong dimasuki. Dia juga takkan selesa kalau berkongsi lif dengan En. Naufal.
Sebaik sampai ke lobi, suasana sudah sunyi-sepi. Kereta Honda Accord suami Nur Ain baru saja berlalu. Mujur juga lobi dan kawasan depan terang-benderang. Dan mujur juga Suraya memang tiap-tiap hari meletak kereta di kawasan depan ini.
Kunci kereta di dalam beg digenggam. Tinggal keretanya dan kereta En. Naufal saja di situ. Suraya pandang sekeliling sebelum mula tekan butang alarm.
“Suraya.”
Astaghfirullahalazim. Suraya tarik nafasnya dalam-dalam sambil menoleh ke belakang. Hampir dia terjerit disapa tiba-tiba begitu.
Sorry buat Suraya terkejut.” Ucapnya dengan wajah bersalah. Nampak sangat riak terkejut di muka Suraya.
“Tak apa. Kenapa, encik?.”
“Dah lewat sangat ni. Biar saya hantar Suraya balik.”
Tote bag diletak di kerusi penumpang. Suraya kerut keningnya memandang En. Naufal. “Tapi..”
“Bukan dengan kereta saya. Saya follow kereta Suraya sampai ke rumah. Dah lewat malam ni. Saya risau.”
“Oh…”
“Suraya masuk dulu. Dah ready nanti, hon aje. Tunggu saya follow dari belakang. Faham?.” En. Naufal sudah mula menekan butang alarm keretanya.
Suraya sudah tak terkata apa. Kepalanya saja yang mengangguk lambat-lambat. Bila lelaki itu menyuruhnya segera masuk ke dalam kereta, dia akur saja. Central lock ditekan sebelum enjin kereta dihidupkan.
Gear dimasukkan. Brek tangan dilepas. Suraya tekan honnya sekejap dan dibalas juga En. Naufal.
Lelaki itu betul-betul mengekori keretanya sepanjang 25 minit perjalanan dari pejabat hingga ke rumah. Sekali dua dia ketinggalan bila berjumpa traffic light tapi tak lama kemudian, keretanya akan muncul semula di belakang Proton Saga putih kesayangan Suraya.
Sampai sahaja di depan rumah teres dua tingkat itu, Suraya terus capai Blackberry di tempat duduk sebelah. Nombor telefon En. Naufal yang masih setia berhenti di belakang didail.
“Assalamualaikum, encik. Saya dah sampai ni. Terima kasih temankan saya balik.” Ucapnya pantas.
“Tak apa.”
Agaknya abah atau umi sudah terperasankan lampu keretanya. Pintu pagar terbuka secara automatik.
“Encik nak masuk dulu?.”
“Tak apalah, Suraya. Dah lewat ni. Nanti ganggu abah dan umi Suraya saja. Masuklah, kemudian saya gerak balik.”
Suraya sudah terangguk-angguk di dalam kereta. Salam diucap sebelum dia putuskan talian. Pedal minyak ditekan perlahan untuknya masuk ke dalam ruang kosong di sebelah kereta abah.
Dari cermin pandang belakang, Suraya lihat Honda Civic warna taffeta white itu berlalu perlahan.
Blackberry sekali lagi dicapai. Kali ini dia terus ke ruang mesej.
Terima kasih, encik. Drive safe. :)

Saturday, February 23, 2013

Jangan Sentuh Hatiku 18



18
Telefon warna putih susu itu dia letak semula dengan rasa sedikit malas. Lama ditenungnya telefon itu sebelum mata beralih ke Elle Studio di tangan. Sudah pukul lima pun.
Baru juga perbincangan dengan Jabatan Kewangan selesai. Dia baru nak menarik nafas lega sebab semuanya jadi mudah dan perbincangan itu tak makan masa sampai sejam pun tapi nampaknya harapan abah nak dia pulang awal memang tak tertunailah.
Lambat-lambat Suraya bangun membawa sekali organizer di tangan. Pintu kayu itu dia ketuk dua kali.
“Masuk.”
Tombol pintu ditolak. Suraya hulur senyuman tawar pada En. Naufal yang masih sibuk membelek laporan kewangan di tangan.
“Kenapa, Suraya?.” Lelaki itu angkat muka memandang Suraya.
“Tadi wakil dari Syarikat Global Nine telefon. Dia orang nakkan paper work kita untuk projek chalet tu.”
En. Naufal melepaskan fail di tangan. Dahinya sudah mula timbul kerutan. “Bukan deadline lagi tiga hari ke?.”
“Ya, sepatutnya minggu depan baru hantar tapi tiba-tiba dia orang minta awal, encik.” Suraya serba-salah. Tiba-tiba saja Puan Haziqah memberitahu syarikatnya hendak cepat uruskan hal tender ini.
“Allahuakbar. Kenapa boleh jadi macam ni pula?.”
Suraya cuba sedaya upaya menayang muka tenang walau dalam hati risau juga kalau-kalau En. Naufal tumpahkan marahnya pada dia.
Spontan lelaki itu membelek sama jam di tangan sebelum kembali mengangkat muka memandang Suraya. “Suraya call Nur Ain. Pastikan dia jangan balik dulu. Apa pun, kita kena siapkan paper work tu hari ini juga.”
Arahan itu Suraya balas dengan anggukan. Laju saja dia melangkah keluar meninggalkan En. Naufal dan bergegas masuk ke bilik Nur Ain, Pengurus Projek yang memang terkenal dengan sikap workaholicnya.
Mujur sajalah Nur Ain memang jenis mahukan kerjanya sentiasa tip top. Tanpa banyak soal, wanita beranak tiga itu cepat saja mengemas dokumen yang perlu lalu diserah pada Suraya. Dia sendiri pula mengangkat komputer ribanya ke bilik En. Naufal.
“Suraya tolong buatkan minuman untuk Puan Ain ya? Nanti datang sini semula.” Arah En. Naufal selesai saja Suraya mengemas meja lelaki itu. Semua fail dan dokumen penting yang dibelek En. Naufal tadi sudah dia susun elok-elok di dalam rak.
“Baik, encik.”
Kalau ikutkan, Suraya boleh saja minta diri balik dulu tapi dia sudah cukup kenal bosnya yang ini. En. Naufal tak mahu duduk buat kerja berdua saja dengan perempuan. Dan selama ini, kalau terjadi kes lelaki itu perlu kerja lebih masa dengan mana-mana staf perempuan, Surayalah akan jadi mangsa untuk jadi peneman.
Dan Suraya tetap Suraya. Dia tak pernah rasa itu sebagai tugas yang mencuri masanya nak berehat di rumah. Dia malah berlapang dada, berbesar hati dapat menolong En. Naufal.
“Eh, buat over time ke?.”
Suraya tidak jadi hendak mencapai dua biji mug di dalam kabinet. Kepalanya dipusing ke arah pintu masuk ke pantry.
“Macam biasalah. En. Naufal kena stay up dengan Puan Ain. Siapkan paper work projek chalet tu.”
Bibir Farahin memuncung panjang dengan bentuk bulat. Tanda faham sangat. En. Naufal kan memang begitu. “So, balik lambatlah ni ya? Kesian.”
“Nak buat macam mana. Terpaksalah balik lambat sikit.”
“Alah, kau bukannya kisah sangat pun kan? Kau kan sanggup buat apa saja untuk bos kesayangan kau tu.” Usik Farahin dengan mata nakal. Beg tangan disangkut ke bahu kiri. Dia bukan jenis macam Suraya yang boleh saja tunjuk muka tenang walaupun terpaksa duduk di pejabat sampai pukul lapan malam.
“Hish, dengar orang nanti. Apa pula dia orang fikir, Fara.” Mug yang tak jadi diambil tadi terus dia capai.
“Alah, biarlah pun. Sama-sama bujang, tak ada masalah.”
Suraya sudah tergeleng dengan usikan Farahin. Kawannya seorang ini kan memang selalu nak kena. Buatnya En. Naufal sendiri yang terdengar, bukan ke malu besar dia nanti. Orang tu sudahlah nak menikah tak lama lagi.
“Jangan Fara. Kau jangan cakap macam ni lagi nanti-nanti tau. Aku yang malu kalau En. Naufal dengar nanti.”
Farahin sudah mula mahu ketawa. Kulit muka Suraya yang putih bersih itu sudah jadi merah dibuatnya. Takkan pula Suraya betul-betul sayangkan En. Naufal tu?
“Apa yang patut saya dengar, Suraya? Farahin?.”
Suara garau dari belakang itu berjaya menutup mulut Farahin yang masih berniat nak mengusik Suraya. Bulat matanya memandang Suraya.




~T.kasih utk senyuman itu.... :) ~


Popular Posts