18
Telefon warna putih susu itu dia letak
semula dengan rasa sedikit malas. Lama ditenungnya telefon itu sebelum mata
beralih ke Elle Studio di tangan. Sudah pukul lima pun.
Baru juga perbincangan dengan Jabatan
Kewangan selesai. Dia baru nak menarik nafas lega sebab semuanya jadi mudah dan
perbincangan itu tak makan masa sampai sejam pun tapi nampaknya harapan abah
nak dia pulang awal memang tak tertunailah.
Lambat-lambat Suraya bangun membawa
sekali organizer di tangan. Pintu kayu itu dia ketuk dua kali.
“Masuk.”
Tombol pintu ditolak. Suraya hulur
senyuman tawar pada En. Naufal yang masih sibuk membelek laporan kewangan di
tangan.
“Kenapa, Suraya?.” Lelaki itu angkat
muka memandang Suraya.
“Tadi wakil dari Syarikat Global Nine
telefon. Dia orang nakkan paper work kita untuk projek chalet tu.”
En. Naufal melepaskan fail di tangan. Dahinya
sudah mula timbul kerutan. “Bukan deadline lagi tiga hari ke?.”
“Ya, sepatutnya minggu depan baru
hantar tapi tiba-tiba dia orang minta awal, encik.” Suraya serba-salah. Tiba-tiba
saja Puan Haziqah memberitahu syarikatnya hendak cepat uruskan hal tender ini.
“Allahuakbar. Kenapa boleh jadi macam
ni pula?.”
Suraya cuba sedaya upaya menayang muka
tenang walau dalam hati risau juga kalau-kalau En. Naufal tumpahkan marahnya
pada dia.
Spontan lelaki itu membelek sama jam di
tangan sebelum kembali mengangkat muka memandang Suraya. “Suraya call Nur Ain. Pastikan
dia jangan balik dulu. Apa pun, kita kena siapkan paper work tu hari ini juga.”
Arahan itu Suraya balas dengan
anggukan. Laju saja dia melangkah keluar meninggalkan En. Naufal dan bergegas
masuk ke bilik Nur Ain, Pengurus Projek yang memang terkenal dengan sikap workaholicnya.
Mujur sajalah Nur Ain memang jenis
mahukan kerjanya sentiasa tip top. Tanpa banyak soal, wanita beranak tiga itu
cepat saja mengemas dokumen yang perlu lalu diserah pada Suraya. Dia sendiri
pula mengangkat komputer ribanya ke bilik En. Naufal.
“Suraya tolong buatkan minuman untuk
Puan Ain ya? Nanti datang sini semula.” Arah En. Naufal selesai saja Suraya
mengemas meja lelaki itu. Semua fail dan dokumen penting yang dibelek En.
Naufal tadi sudah dia susun elok-elok di dalam rak.
“Baik, encik.”
Kalau ikutkan, Suraya boleh saja minta
diri balik dulu tapi dia sudah cukup kenal bosnya yang ini. En. Naufal tak mahu
duduk buat kerja berdua saja dengan perempuan. Dan selama ini, kalau terjadi
kes lelaki itu perlu kerja lebih masa dengan mana-mana staf perempuan,
Surayalah akan jadi mangsa untuk jadi peneman.
Dan Suraya tetap Suraya. Dia tak pernah
rasa itu sebagai tugas yang mencuri masanya nak berehat di rumah. Dia malah
berlapang dada, berbesar hati dapat menolong En. Naufal.
“Eh, buat over time ke?.”
Suraya tidak jadi hendak mencapai dua
biji mug di dalam kabinet. Kepalanya dipusing ke arah pintu masuk ke pantry.
“Macam biasalah. En. Naufal kena stay
up dengan Puan Ain. Siapkan paper work projek chalet tu.”
Bibir Farahin memuncung panjang dengan
bentuk bulat. Tanda faham sangat. En. Naufal kan memang begitu. “So, balik
lambatlah ni ya? Kesian.”
“Nak buat macam mana. Terpaksalah balik
lambat sikit.”
“Alah, kau bukannya kisah sangat pun
kan? Kau kan sanggup buat apa saja untuk bos kesayangan kau tu.” Usik Farahin
dengan mata nakal. Beg tangan disangkut ke bahu kiri. Dia bukan jenis macam
Suraya yang boleh saja tunjuk muka tenang walaupun terpaksa duduk di pejabat
sampai pukul lapan malam.
“Hish, dengar orang nanti. Apa pula dia
orang fikir, Fara.” Mug yang tak jadi diambil tadi terus dia capai.
“Alah, biarlah pun. Sama-sama bujang,
tak ada masalah.”
Suraya sudah tergeleng dengan usikan
Farahin. Kawannya seorang ini kan memang selalu nak kena. Buatnya En. Naufal
sendiri yang terdengar, bukan ke malu besar dia nanti. Orang tu sudahlah nak
menikah tak lama lagi.
“Jangan Fara. Kau jangan cakap macam ni
lagi nanti-nanti tau. Aku yang malu kalau En. Naufal dengar nanti.”
Farahin sudah mula mahu ketawa. Kulit muka
Suraya yang putih bersih itu sudah jadi merah dibuatnya. Takkan pula Suraya
betul-betul sayangkan En. Naufal tu?
“Apa yang patut saya dengar, Suraya?
Farahin?.”
Suara garau dari belakang itu berjaya
menutup mulut Farahin yang masih berniat nak mengusik Suraya. Bulat matanya
memandang Suraya.
~T.kasih utk senyuman itu.... :) ~
1st time baca novel nie..best.. -eil
ReplyDelete