Klik?
Maha Suci Allah
Kata saya...
Thursday, December 16, 2010
Mr & Mrs BFF (~ E.A~)
Khusyairi melonggarkan tali leher yang terasa menjerut itu. Sengaja dia mendiamkan diri seketika. Membiarkan tubuhnya merasa kedinginan udara daripada penghawa dingin di atas kepala. Lega rasanya setelah hampir sejam setengah dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Duduk di Kuala Lumpur memang banyak dugaannya. Tapi yang paling menyeksa jiwa ialah bila menyentuh bab di atas jalan raya. Kalau tak cukup sabar, boleh naik darah dibuatnya.
Gelas berisi air suam dicampur beberapa ketul ais dia capai. Seteguk dua diminum, perhatiannya dialih pada jari-jemari yang menjalar di kepalanya. Nikmat rasanya bila kepala yang sejak tadi bekerja keras memerah otak menerima urutan begini lembut.
"Papa..."
Urutan di kepalanya terhenti. Dia cepat membongkokkan tubuh mengangkat anak kecil bermata bulat di depannya. "Sayang....anak papa. How're you today?." Pipi mungil anak itu dicium bertalu-talu membuat si kecil mengekeh ketawa.
"Amboi, bukan main lagi Naufal ya? Dengan mama asyik merengek. Dengan papa ketawa bukan main."
Seakan mengerti, Naufal terus ketawa memandang mamanya. Bila tangan Khusyairi sampai ke tubuhnya, semakin galak dia ketawa.
"Anak papa sayang papa. Mestilah anak papa happy dengan papa, kan sayang?." bibirnya mendarat ke pipi Naufal.
"Bagus sangatlah tu. Nanti mama pergi sekolah, Naufal duduklah dengan papa puas-puas. Biar Naufal rindu mama. Lewat malam baru mama balik. Nak?."
"Tak nak."
"Habis, Naufal tak sayang mama pun. Naufal sayang mama ke tak?." Amishah menyuakan pipi ke bibir Naufal dan cepat saja dia menerima kucupan sayang si kecil di situ. Saat dia baru hendak mengangkat muka, terasa ada sepasang lagi bibir melekap di tempat yang sama. Matanya membulat memandang Khusyairi dan Naufal yang serentak ketawa.
"Fal ayang mama." Anak kecil itu bersuara dengan pelatnya. Sekali lagi dia mendaratkan ciuman ke pipi Amishah.
"Papa pun sayang mama."
"Opss...papa tak boleh kiss mama macam Naufal." Dia pantas menahan. Panjang muncung Khusyairi memandangnya.
"Habis tu, papa nak kiss dekat mana?."
"Giliran papa malam nanti. Okey?."
"Okey...okey...papa tunggu." Khusyairi bersuara girang mengalahkan anak kecil. Amishah sudah tertawa melihat gelagatnya. Naufal yang tidak mengerti apa-apa turut sama ketawa sambil mengeratkan tangannya memeluk leher Amishah.
Khusyairi duduk menyandar di kepala katil. Mulanya dia sedang membaca tapi sebaik sahaja Amishah muncul, matanya beralih terus dari halaman buku. Ke mana saja isterinya bergerak, ke situlah anak matanya mengekor.
Amishah melepaskan ikatan rambut. Mencapai sikat. Membersihkan kulit muka. Menyapu losen ke tangan dan kaki. Menuju katil kecil Naufal. Mendaratkan ciuman selamat malam dan membisikkan sepotong ayat al-quran. Kembali ke meja solek. Menyembur sedikit minyak wangi dan senyumannya mekar di bibir.
"Mata tu dah tak ada tempat lain nak tengok ke?." Amishah sudah bersedia menyelak gebar.
Dia terus menutup buku dan bersedia mahu turut sama membaringkan tubuh bila Amishah mendaratkan kepala ke pehanya.
"Abang rasa abang boleh dapat tak kerja tu?."
Rambut kehitaman Amishah dia elus perlahan. Sesekali bibirnya mendarat ke dahi Amishah. "Abang doakan abang dapat yang ini. Dia kata tunggu dalam seminggu ni. Kalau dah rezeki kita, dia orang akan call abang."
"Kalau tak dapat?."
"Insyaallah dapatlah tu. Rekod abang sebelum ini pun quite impressive."
Ciuman di dahinya dia balas dengan mengucup jari-jemari Khusyairi. Kasihan suaminya ini. Gara-gara mahu rujuk, Khusyairi dengan rela hati sanggup meletak jawatan di syarikat lamanya. Sekarang, sudah hampir setahun dia duduk di rumah. Dan kalau bukan kerana dia yang mendesak, Khusyairi tidak mahu hadir mana-mana temuduga.
"Sayang doakanlah untuk abang. Kalau tak, nanti sayang juga yang naik darah tengok abang duduk melepak kat rumah tak buat apa." Hidung Amishah dicuitnya nakal.
"Bukan Mishah tak suka abang duduk rumah tapi..."
Dua ulas bibir itu dia elus. "Abang faham. Abang gurau ajelah."
Temuduga kali ini, dia yakin dia boleh mendapatkannya. Kebetulan dia punya dua tiga orang kawan lama yang baik dengannya bekerja di situ. Lagipun kebanyakan syarikat lebih memilih mereka yang sudah punya pengalaman berbanding fresh graduate.
Walaupun gaji permulaan yang akan dia terima nanti tidak sebanyak yang dia dapatkan ketika menjawat jawatan jurutera kanan di syarikat Datuk Rahman dulu, dia rela asalkan dia dapat bersama Amishah, dan Naufal.
Lagipun apalah ertinya duit berkepuk kalau dia perlu dihadapkan dengan Nuraina?
"Sayang."
"Hurmm?." Suasana makin sepi. Naufal sudah lama dibuai mimpi. Kedinginan malam semakin terasa.
"Sayang rasa, dalam keadaan abang masih tak ada kerja ni...."
"Ya?."
"Err..."
"Cakaplah."
"Boleh tak..."
Dari menanti, Amishah mula senyum sendiri. "Kenapa abang ni? Kelu semacamlah pula. Macam nak apa-apa aje?."
"Memang abang nakkan sesuatu."
"Then cakap. Mana Mishah.."
Suaranya terhenti bila sepasang bibir sudah mendarat di atas bibirnya.
"Boleh tak, dalam keadaan abang masih menganggur ni, abang nakkan seorang lagi baby?." Khusyairi berbisik perlahan. Amishah menatap lama sepasang mata milik Khusyairi. Jarinya bergerak dari bibir ke hidung dan akhirnya ke bibir semula. Perlahan-lahan dia mengukirkan senyuman paling manis buat Khusyairi.
"Kesian kat Naufal.."
Dan Khusyairi sudah mula ketawa sambil mengeratkan pelukan. Dia cintakan Amishah sungguh-sungguh. Dia cinta separuh mati pada bekas best friendnya ini...sampai bila-bila!!
................................tadaaaaaa!!!!!!!!!!!!!!!1
Dengan itu maka tamatlah riwayat Shah dan Ri yer. Pada mana-mana watak yang aku 'terlupa' nak simpulkan tu, you all agak-agak ajelah apa jadi pada diorang yer. Sekarang tenang sikit fikiran aku....hihihi....
oh ya, di bawah ni ada beberapa soalan aneka pilihan tuk korang. boleh jer jawab lau nak, buat merendahkan suhu kemarahan korang bab cite ni tetiba je abes. Dahlah tak panjang....(lau nak cecah lantai, u kena letak skrin laptop u kat lantai yer)
1. Apakah yang terjadi kpd Ilyas?
A) Gila
B) Lumpuh bahagian bawah badan gara-gara dikerjakan Khusyairi
C) Dikenakan tindakan tatatertib hingga menyebabkan dia membunuh diri terlalu kecewa
D) Kahwin dengan Nuraina selepas berkenalan di wad psikiatri
2. Anda rasa apa patut anda buat pada Nuraina?
A) Humban ke dalam laut yang dipenuhi jerung kelaparan
B) Gantung terbalik di pokok pisang depan rumah Amishah
C) Terlibat dalam kemalangan kapal terbang dan terperangkap di hutan Amazon
D) Insaf dan akhirnya sedar diri tak cantik tapi gedik semacam
~ Walla.....selamat hari asyura, jom ramai-ramai ke masjid!~
Sunday, December 12, 2010
Mr & Mrs BFF 70
Jeritan dan tangisan perempuan di dalam bilik itu semakin kuat. Nafasnya jadi semakin sesak. Matanya dikejap erat enggan membayangkan apa juga kesakitan yang sedang dia alami. Ya Allah, tolong selamatkan Amishah...
"Mishah...."
Tombol pintu bilik 440 itu keras menandakan ia dikunci dari dalam. Khusyairi toleh ke kiri dan kanan namun nampaknya bilik di sebelah-menyebelah tiada penghuni. Atau penghuninya keluar atau mereka enggan melibatkan diri.
"Ri.."
Perutnya terasa pedih. Mendengar bunyi ketukan di pintu, Ilyas tiba-tiba menghentikan tindakannya. Saat itu air matanya mengalir lebih laju.
"Amishah...sa..saya.." Ilyas menjatuhkan telapak tangan ke bahu Amishah namun dia bertindak mengelak dengan sisa kudrat yang ada.
"Please go..."
"Saya...saya..minta maaf." Mukanya diraup kasar. Rambutnya yang kusut-masai dia ramas kasar. Bagaikan baru tersedar, dia rasa mahu menjerit kuat melihat keadaan dirinya yang begini dan melihat air mata Amishah. Dia tiba-tiba menjadi terlalu takut.
Ilyas bingkas berdiri. Bunyi ketukan tadi sudah berhenti. Abang...suami Amishah kah di luar sana? Jantungnya berdegup kencang. Fikirannya jadi berkecamuk. Ke mana dia harus melarikan diri sekarang? Tak dapat dia bayangkan sekiranya dia membuka pintu nanti, suami Amishah menunggu bersama beberapa orang polis. Dia belum bersedia untuk dimalukan. Dia masih sayangkan kerjayanya.
Dari lubang kecil yang ada di pintu, dia cuba memerhatikan kawasan luar bilik. Kosong. Ke mana lelaki tadi?
"Amishah, aku nak kau simpan perkara ni sampai bila-bila. Sekali kau sebut nama aku, kau akan tahu padahnya nanti." Rambut Amishah ditariknya kuat membuat Amishah merintih kuat. Air matanya mengalir semula.
Ri...tolonglah selamatkan baby kita...
"Faham?."
Ri....please....dia saja yang aku ada sebagai pengganti kau...
"Amishah!." Pipi yang sudah pucat itu ditampar kuat.
Melihat Amishah yang tidak memberi reaksi, hatinya yang sudah mula kusut jadi panas sendiri. Dia tidak suka arahannya tidak dipatuhi. Dia benci orang yang membisu bila diajak berbicara.
Bila Amishah hanya menangis, dia jadi semakin galak menampar seluruh wajah Amishah. Satu tendangan padu dia hadiahkan ke lutut Amishah dan sebaik sahaja dia mendengar raungan kesakitan, bibirnya mengukir senyuman suka.
"Macam itulah, sayang...jangan diam macam patung. Tak syok." Ujarnya sambil mengelus seluruh tubuh Amishah.
Ya Allah....
Ya Allah...
Ya Allah...
Kalaulah dia mampu melakukan apa-apa....tapi tangannya yang dipijak Ilyas tadi terlalu lemah untuk bertindak. Apa yang dia harapkan kini cuma pertolonganNya. Dia betul-betul tak berdaya.
"Aku dah lama sukakan kau, Amishah."
Amishah geleng kepala. Darah yang mengalir dari bibirnya disentuh Ilyas sebelum dijilatnya.
"Kau tak sukakan aku ke?."
Ya Allah...
"Hah? Kau tak suka?."
Dia mahu menjerit tapi suaranya seperti tersekat di celah kerongkong. Kalau benar inilah saat-saat akhir hidupnya, dia lebih rela nyawanya dicabut daripada maruahnya tercemar dengan perbuatan kebinatangan Ilyas ini.
Ilyas mengangkat tinggi kaki kanannya yang menyarung kasut bertumit keras itu apabila dia melihat pintu biliknya ditolak kasar dari luar dan beberapa orang lelaki berpakaian seragam berdiri di situ.
Dalam kesakitan, bibirnya hanya mampu mengucap rasa syukur.
Khusyairi genggam erat pergelangan tangan Amishah tapi bila terpandang reaksi Mak Biah, pegangannya dilepaskan. Emak mertuanya itu masih lagi membencinya hingga kini.
"Ri pergilah solat dulu. Biar abah dengan mak gantikan sekejap." Haji Rusdi menyentuh mesra bahunya.
"Yalah tapi Ri solat dalam bilik ini aje."
"Hah, elok juga tu. Kalau ke surau pun, tak tahulah ada solat jemaah ke tidak waktu sekarang ni. Dah lama berlalu azan."
Sebelum berlalu, dia beranikan diri mendaratkan kucupan penuh cinta ke dahi Amishah dengan doa isterinya ini akan segera sedar. Masuk hari ini, sudah dua hari Amishah tidak sedarkan diri. Dia diberi ubat tidur selain kesan bius yang diterimanya sebelum lukanya dijahit.
Asalkan Amishah sedar dan sembuh, dia sudah cukup bersyukur selepas doktor mengkhabarkan bayi di dalam kandungannya juga selamat. Mujurlah dia cepat dibawa ke hospital. Kalau tidak, risiko untuk anak itu meninggal juga amat tinggi.
"Abang solat dulu ya. Abang nak doa untuk sayang." Bisiknya perlahan walau mata Mak Biah masih tajam memandang.
p/s : sorry lambat update.....
Thursday, December 9, 2010
Mr & Mrs BFF 69
selamat membaca .................................. (~_-)
Pencariannya terganggu seketika. Sebelum membukakan pintu, dia memastikan dulu kunci rantainya terpasang. Walau siapa pun di luar sana, dia takkan dapat masuk. Entah kenapa dadanya terasa berdebar semacam.
"Puan?." Wajah seseorang terjengul di celah bukaan pintu.
Lah....nafasnya ditarik dalam. Kakitangan hotel rupanya. Seorang gadis bertudung hitam diikat di tengkuk berdiri di luar pintu sambil mengukir senyuman.
"Ada apa, dik?." Soalnya selepas beberapa saat menarik nafas. Ingatkan siapalah tadi.
"Puan yang minta iron tadi kan?."
"Iron?."
"Ya.."
"Adik salah bilik kot. Akak tak ada pula call ke bawah minta iron. Sorry ya." Silap oranglah tu. Dia sendiri ada membawa seterika. Untuk apa lagi dia hendak minta dihantarkan seterika lain.
Gadis itu nampak terpinga-pinga. "Eh, bukan ke? Ini bilik 440 kan?."
"Ya, ini bilik 440. Baik adik refer semula pada ketua adik. Akak memang tak ada minta iron pun. Okey?."
"Err...oh, okey. sorry mengganggu puan."
Dia mengangguk lantas menutup kembali pintu. Entah dia salah dengar atau dimainkan kawan-kawannya. Sumpah dia tak ada call pun ke bawah minta apa-apa.
Cadar yang sudah kusut dia tegangkan ala kadar. Telefon yang dicari masih saja dia tak nampak di mana-mana. Jangan betul-betul hilang, sudah. Banyak perkara penting yang tersimpan dalam memori telefon itu. Gambar perkahwinan, gambar Khusyairi saat mencium dahinya. Macam-macam. Semua itu kalau hilang memang dia tak akan dapat cari di mana-mana lagi.
Amishah meneruskan pencarian di dalam laci meja. Almari pakaian pun dibeleknya sama. Tapi nampaknya usahanya memang tak berhasil.
Sekali lagi, sedang dia meneruskan pencarian, pintu kedengaran diketuk. Keningnya bertaut menjadi satu. Takkan budak tu lagi?
"Cikgu."
"Eh?." Dia terkedu di muka pintu. Dia rupanya. Rantai kunci yang masih menyangkut dia lepaskan."Saya dah lambat ke? Kejap. Saya cari phone tak jumpa-jumpa. Tak tahu letak kat mana."
Lelaki itu menggelang. "Tak adalah."
"Oh...ingatkan saya dah lambat. Tak apalah, jom kita turun. Bahaya tinggalkan budak-budak tu dekat bawah."
Ilyas menahan di muka pintu. "It's okay. Awak cari dulu. Saya tunggu."
"Eh. tak apalah."
"Nanti family awak call. mana tahu ada benda penting. carilah."
Terkebil-kebil Amishah. Lama kemudian barulah dia mengangguk. Saat dia sudah berpaling mahu masuk semula, tubuhnya terasa ditolak kuat dari belakang dan belum sempat dia menjerit, bunyi pintu ditutup berdentum kuat. Dan dia dapat merasakan gerakan tangan meliar di belakangnya.
Jockey yang sedia berdiri di hadapan pintu masuk dia lambai. Dia tak banyak bicara. Kunci bertukar tangan dan dia bergegas menuju kaunter pendaftaran. Lobi yang dibanjiri kanak-kanak dan beberapa orang dewasa dia perhati satu-persatu dan ternyata orang yang dicari memang tiada.
"Selamat malam. Boleh saya tahu nombor bilik Puan Amishah Hj Rusdi? Dia checked in tengah hari tadi."
"Boleh saya tahu encik ni siapa?." Wanita bersanggul kemas itu memandang wajah Khusyairi yang mula dibasahi peluh.
"Saya suami dia."
"Suami?."
"Ya, tolong cepat sikit ya." Dia tidak tahu kenapa. Sebaik sahaja dia tahu yang Amishah mengiringi murid-muridnya bersama Ilyas, hatinya jadi semakin tidak keruan. Mungkin sebab dia memang cemburu tapi rasanya ada sesuatu yang lain disebaliknya. Kerana ikutkan rasa hati inilah dia memandu terus dari kampung ke KL. Tanpa memaklumkan apa-apa pada mana-mana belah keluarga.
"Err...Puan Amishah. Bilik no 440. Dia duduk sebilik dengan..."
Belum sempat wanita itu menghabiskan bicara, Khusyairi sudah berlari menuju ke lif. Setahunya bila nombor bermula dengan 4, bilik itu ada di tingkat 4.
Dia resah sendiri sepanjang berada di dalam lif. Terasa lambat benar pula ia bergerak kali ini. Terbuka sahaja pintunya, Khusyairi bergegas membelok ke kanan apabila matanya tertangkap papan tanda kecil 440 - 449 di situ. Jantungnya bergerak semakin pantas tetapi akhirnya hampir terhenti bila dia mendengar sayup-sayup jeritan seseorang dari dalam bilik bernombor 440 di hadapannya.
"Mishah."
....................... macam mana? paaaaaaaaaaaaaaaaanjanggg kan? (~_~)
~ Sebenarnya aku rangka2 b4 this, org pertama ketuk tu memang Ilyas tp bila ramai lak yg mcm dpt agak, aku pon tukarlah scene. Hihi...jahat tak aku? Tak mahu kalah.
Tuesday, December 7, 2010
Mr & Mrs BFF 68
menyedari kehadiran mereka, Ilyas melambaikan tangan memanggil. Amishah menarik tangan Wafiya menyertai mereka.
"Awal turun?." sapanya mengukir senyuman.
"Lepas maghrib tadi, bosan tak ada apa nak buat dalam bilik. so, baik turun awal. kan Farhan, Ramesh?."
Dua orang anak itu angguk laju. "Lepas makan nanti nak discuss semula tentang design kapal tu. takut kena tanya macam-macam."
"Yelah, betul tu. Nak bincang kat mana?."
"Bawah ni pun okey juga. tapi saya lupa nak bawa kapal tu turun sekali. nantilah.."
"Eh, it's okay. bagi aje kunci bilik. saya pun nak naik ke atas lepas ni sebab phone tertinggal. takut pula ada important call. biar saya ambil." Amishah memintas lekas. Risau juga dia kalau-kalau abah atau emaknya nanti menelefonnya. Tadi dia memang malas hendak membawanya turun makan. Malas kalau Khusyairi menelefon lagi.
"Tak apa ke?." Ilyas merenung sekilas wajah Amishah.
"Tak apa. benda kecik aje."
Wafiya bersama rakan-rakannya sudah mengikut Ilyas ke lobi hotel. Dia segera naik sebaik sahaja selesai Wafiya makan. Seleranya terbantut sikit bila melihat lauk-pauk yang dihidangkan semuanya berminyak.
Amishah memilih untuk mengambil kapal rekaan terlebih dahulu sebelum ke biliknya. Kapal yang direka kemas itu disimpan elok di atas meja kopi. Diambilnya saja dan terus dibawa masuk ke biliknya.
"Eh, mana pula dia ni?."
Di atas meja sudah dibelek. Cadar dan selimut juga dialihkan tapi apa yang dicari tidak ditemui. mana pula ni? takkan hilang kot? saku beg pakaiannya diseluk. kosong. dalam beg tangan juga tiada.
dalam pada dia ralit mencari-cari itu, seseorang tiba-tiba mengetuk pintu. siapa tu?
Saturday, December 4, 2010
Mr & Mrs BFF 67 ~ Edisi bersalah~
"Kenapa tak angkat phone,cikgu?." Anak kecil itu mengerut dahi memandang Amishah.
Mahu tidak mahu, akhirnya dia memilih untuk menerima saja. Kalau nanti dia menyakitkan hati, dia akan cepat-cepat memutuskannya.
"Hurmm?."
"Sayang? Abang ni."
Aduh, di saat matanya sudah mahu lelap, dia disapa pula dengan kata sayang. Tuhan saja yang tahu perasaannya. Bayangan wajah Khusyairi mula memenuhi ruang fikirnya. Teringat saat-saat manis yang diciptanya bersama lelaki itu dulu. Saat-saat dia tertipu habis dengan cinta palsu Khusyairi. Kalaulah dia tahu Khusyairi tidak ikhlas menyintainya, sumpah, dia sanggup melukakan hati orang tuanya.
"Nak apa pula kali ni?." Suaranya diperlahankan melihat pandangan Wafiya.
Hembus nafas Khusyairi terasa menampan telinga. "Sayang dah sampai hotel ke? Tak inform pun dengan abang?."
"Ri, buat apa nak inform bagai? Saya sekarang bukan tanggungjawab awak lagi. Cukup saya cakap dengan mak dan abah saya."
"Okey...okey...abang lupa. Tapi sayang dah sampai kan? Duduk hotel mana?."
Wafiya mencapai pengering rambut yang disediakan di atas meja. Leka dia memerhati pergerakan anak tunggal Dr.Fatin dan Dr.Halim itu.
"Kenapa nak tahu?."
Lagak Khusyairi yang ini sama dengan lagaknya saat mereka masih bersama dulu. Dia yang ambil berat, prihatin, penyayang. Tapi apa lagi gunanya semua tu sekarang?
"Yang, abang cuma nak tahu. Takkan tak boleh cakap kot? Lagipun abang duduk kampung ni. Kalaulah abang ke KL, takkan abang nak pergi cari sayang sampai ke hotel. Abang tahu sayang tak suka tengok abang."
Amishah mengukir senyum sinis. Tak habis-habis Ri dengan sayangnya. "Tahu pun. Jadi apa juga faedahnya saya cakap saya duduk hotel mana."
Senyap. Sakit hati dan bosan agaknya Khusyairi dengan caranya. Tapi biarlah. Dia lebih senang begitu. Rujuk pun kalau yang seorang cuma pura-pura, tak ada guna kan?
"Tak apalah kalau macam tu. Salam sayang untuk anak abang." Lama baru ada suaranya yang garau itu.
"Hurmm.."
"Assalamualaikum."
Tangannya spontan merayap ke perut. Anak abang....anak kita...."Waalaikumsalam."
Khusyairi bergegas mencapai kunci kereta, dompet dan telefon bimbit yang terletak di dalam laci almari. Detak hatinya sejak mula dia tahu Amishah ke KL tadi lain benar dan dia takut ada sesuatu yang buruk akan berlaku. Nauzubillah. Berpuluh kali dia beristighfar. Enggan memikirkan yang negatif tapi hatinya masih tak tenang.
"Nak ke mana pula tu, Ri? Kita tak makan lagi ni." Jerit Kamariah bila Khusyairi bergegas menuju ke pintu depan.
"Ri nak ke KL, mak. Nanti Ri call mak. Okey?."
"KL? Nak buat apa? Cuti kamu tak habis lagi kan?."
"Belum..belum...mak, nanti Ri call mak kalau Ri jadi ke KL."
"Ri.."
Selepas menyarung kasut, dia bergegas masuk ke dalam kereta dan lima belas minit kemudian, dia sudah berhenti betul-betul di hadapan rumah kayu Haji Rusdi. Mak Biah yang mulanya duduk di tangga bingkas masuk sebaik menyedari kehadirannya. Mujurlah Haji Rusdi muncul sebelum sempat dia menghulur salam.
"Ri...naiklah. Mishah tak ada. Ke KL." Sapa orang tua itu dengan senyuman.
"Ya, abah...saya dah tanya Mishah."
"Oh...kamu dah tahulah?."
Kepala Khusyairi lekas mengangguk. Dia sudah cukup bernasib baik bila Amishah sudi berterus-terang menyatakan dia ke Kuala Lumpur hingga ahad nanti mengiringi murid-murid sekolahnya yang menyertai pertandingan reka cipta. Cuma dia kini mahu tahu sesuatu yang enggan Amishah beritahu.
Gerak hati kadang-kadang ada betulnya dan dia tidak mahu ambil risiko mengabaikan gerak hati ini. Apalagi bila melibatkan Amishah.
p/s penaja : Tadi actually dah berjela pesanan aku wat tp bila nak upload dah, line putus. try connect n hasilnya bebelanku x tersaved pun. Bab aku dah hangin 1 badan jadi I'm not going 2 rewrite it.......just read if u've gut to....if not, close ur eyes....k?
hihihihi............................................... (Ingat g kan maksud hihihihi ?)
Friday, December 3, 2010
Mr & Mrs BFF 66
Tapi apa yang lebih menyeksanya sekarang ialah 2 perkara. Panggilan demi panggilan dari Khusyairi, berselang-seli dengan mesej dan ini..lelaki yang duduk di belakangnya ini yang tidak henti-henti merenung.
Ada apa sebenarnya dengan Ilyas?
Sudahlah dia keletihan. Ditambah-tambah pula dengan perangai aneh 2 lelaki ini. Eh, anehkah perbuatan Khusyairi yang cuba merebut hatinya kembali?
Aneh...
Sebab dulu dia nekad membuang, sekarang terhegeh-hegeh nak mengutip...
Tapi...
okey, mungkin tak seaneh perbuatan Ilyas....
Amishah segera mengarahkan Wafiya membawa begnya masuk ke bilik yang sudah disediakan untuk mereka berdua. Memandangkan cuma ada seorang murid perempuan yang dia iring, dia diminta berkongsi bilik saja dengan Wafiya.
Di bilik sebelah pula, Ilyas berkongsi bilik dengan Farhan dan Ramesh Sundra.
"Wafi mandi dulu ya? Lepas tu kita turun makan." Dia memberi arahan dan Wafiya terus mengangguk akur. Tuala di dalam beg dikeluarkan sebelum anak manis pasangan doktor itu berlalu masuk ke bilik air.
Jauh perjalanan tadi masih terasa. Dia baru berniat mahu melelapkan mata barang setengah jam bila telefonnya berdering 3 kali. 3 sms yang masuk.
-Sayang, dah sampai ke?
- Rindunya....if only you are here...
- please reply me, dear......
OhTuhan....dia rasa seperti mahu menjerut leher sendiri. Rasa hatinya berbelah-bahagi. Dia mahu membalas kiriman mesej itu dan menyatakan rindunya tapi itu memang sama sekali tak wajar! Tak semudah itu dia mahu menerima Khusyairi kembali.
Thursday, December 2, 2010
Mr & Mrs BFF 64
Kepala Khusyairi laju saja mengangguk. Senyuman penuh harapan dia ukirkan. Moga-moga hati Amishah akan jadi lembut, selembut kapas yang disirami air. Semua ini masih boleh diperbaiki. Betul kata ayah dan maknya semalam. Kalau kena gayanya dan memang antara mereka masih ada jodoh, Amishah akan kembali padanya.
"Abang janji semuanya takkan berulang. Abang yang salah. Lepas ni, abang janji abang akan jaga Mishah dan anak kita elok-elok."
"Nak jaga saya dan baby ni?."
"Baby kita, sayang."
"Saya tak pernah terfikir pula sampai nak tinggal di Sabah." Amishah menyandarkan tubuh ke belakang. Lenguh rasanya.
Sesaat dua mata Khusyairi terkelip-kelip. Dia mencerakin makna kata-kata Amishah itu dengan teliti. Kenapa dia rasa ada bayangan dari kata-kata itu yang mereka ada harapan untuk merujuk kembali? Betul ke?
"Sayang setuju?." Kedua lutut Amishah disentuhnya.
"Long distance relationship doesn't make our marriage stay longer."
"Is that mean you want me back?." Dia jadi semakin tak keruan. Angguklah, sayang. Abang memang tak boleh nak tangkap.
Amishah angkat kedua bahunya. Mengharapkan lelaki yang memang dia cintai ini cuba memahaminya sendiri. Walau dia sudah lama tahu, lelaki susah nak faham bahasa kiasan berbelit-belit begini.
"Please, honey. just say yes or no."
Amishah menggeleng pula.
"Sayang?"
Jari telunjuknya dihalakan ke kepala. Isyarat supaya Khusyairi berfikir sendiri dan akhirnya lelaki itu akur. Khusyairi diam sejenak sebelum tiba-tiba sahaja dia melompat tinggi sambil menjerit suka.
"I knew you still love me, honey." Jeritnya. Hanya selepas tangannya ditarik barulah dia duduk. Masih menghadap Amishah.
"Sayang." Pipi mulus Amishah diusap penuh sayang. "Thanks, Mishah. Kita rujuk ya? Oh ya, bila kita nak pergi pejabat agama? Abang dah tak sabar nak nikah semula dengan sayang. Esok? Atau petang ni masih sempat lagi kan? Sekarang baru jam 2.30."
"Ri."
"Jom..jom..panggil abah dengan mak. Abang nak call ayah dengan mak. Kita bertolak sekarang. Abang dah tak nak tangguh-tangguh. Nanti sayang tukar fikiran." Tangan Amishah dicapai. Kalau boleh dia terbang, sudah lama Amishah dibawanya pergi.
"Ri."
"Jomlah."
Langkah Amishah kaku. Pandangannya kabur sedikit bila ada setitis dua air mata mula membasahi pipi. Melihat keghairahan Khusyairi, hatinya yakin dia memang tidak silap membuat keputusan. Dia memang masih cintakan Khusyairi. Sampai bila-bila!
"Sayang, cepat."
"Ri..."
"Kenapa ni?." Khusyairi pandang Amishah. Takkan Amishah nak menolak pula?
"Kita cerai dulu talak berapa?."
Khusyairi angkat 1 jari.
"Dah berapa lama?."
Sekali lagi dia angkat 1 jari. "1 bulan."
"Iddah Mishah sampai berapa lama?."
"Err...3 kali suci?."
"Lebih kurang berapa bulan?."
Garu kepala. "Kalau sayang masih....eh, sayang kan pregnant. Jadi...eh, kita..."
Kali ini barulah senyuman muncul di bibir Amishah. "Ya, sayang...kita tak perlu nikah semula. Iddah Mishah tak habis lagi."
"Ah?." Ternganga besar mulutnya sebelum mereka sama-sama meletuskan tawa. Ya Tuhan, jahilnya dia.
"Betul. Boleh tanya abah." Amishah menahan rasa ingin ketawanya lagi. Terlalu gopoh sampai lupa hukum-hakam.
"Eh, tak payah...tak payah...abang percaya cakap sayang."
Dia menggenggam erat tangan Amishah dan dibawanya segera ke dapur. Dia mahu segera memaklumkan Haji Rusdi dan Mak Biah akan khabar gembira ini. Syukurlah Ya Allah. Senyuman di bibirnya tidak kunjung padam dibuatnya.
"Ri."
Dia masih senyum. Semakin erat genggaman tangannya.
"Ri..."
Dia gembira amat kini.
"Ri!!!."
Mukanya terasa kebas seketika. Pijar rasanya. Dia meletak tapak tangan ke pipi. Perlahan-lahan matanya terbuka sedikit demi sedikit.
"Mak?."
Di hadapannya, Kamariah bertelekung putih memandangnya dengan pelik. Ada ayahnya juga.
Eh?
Dia memandang sekeliling. Ini bukankah....
"Banyakkan istighfar, Ri. Mimpi bukan main. Siap senyum bagai. Bangun, pergi solat."
.....
..........
........................
..........
....
.
.
P/s penaja : (~_~)
Tuesday, November 30, 2010
Mr & Mrs BFF 63
"Mishah". Haji Rusdi bingkas menegur. Amishah tiba-tiba muncul dengan muka yang tidak dapat ditebak apa perasaannya. Mungkin dari mula Khusyairi bercakap tadi, Amishah sudah memasang telinga.
"Betul,abah. Mishah memang tak perlukan dia lagi. Gaji Mishah cukup untuk besarkan anak Mishah ni. Sampai dia besar."
Duduk Khusyairi terasa semakin tidak selesa. Apa yang dia harapkan kini cuma pengaruh Haji Rusdi melembutkan hati Amishah. Dia sudah sedar kesilapannya yang lalu. Dia cuba mencari kesalahan Amishah sedang kesalahannya sendiri lebih besar lagi.
"Mishah, cuba duduk dulu. Kita bincangkan elok-elok." Pujuk orang tua itu.
"Dah tak ada apa yang nak dibincangkan lagi. Mishah bukan isteri dia lagi." Apa gunanya Khusyairi datang sekarang hendak bertanggungjawab sedangkan gara-gara anak kecil di dalam kandungannnya inilah Khusyairi nekad berpisah. Jadi adakah itu memberi apa-apa gambaran yang anak ini akan dikasihi papanya nanti?
"Shah." Dia cuba bangun melihat kerlingan mata Haji Rusdi. Matanya bertaut pandang dengan mata sembab Amishah. Mungkin dia baru habis menangis. "Abang datang elok-elok nak bincang dengan Mishah. Kita masih boleh rujukkan? Iddah Mishah belum habis kan?."
Mereka berpisah baru sebulan. Dia masih punya peluang untuk bersatu dengan Amishah sekiranya wanita kesayangannya ini terbuka hati.
Haji Rusdi turut mengangguk mengiyakan kebenaran kata-kata bekas menantunya yang kelihatan sedikit susut tubuhnya. Mungkin benar Khusyairi masih cintakan Amishah cuma yang lepas itu dia terkhilaf. Lagipun siapa perempuan yang datang mengunjungi Khusyairi dan nampak begitu mesra semasa di hospital dulu pun mereka belum tanya. Mungkin cuma kawannya.
Dan kemarahan Khusyairi tentang sikap Amishah mendiamkan kehadiran bayi dalam kandungannya itu, ada benarnya. Dia faham pendirian dan ego lelaki. Apalagi yang muda dan mentah macam Khusyairi.
"Abah beri peluang kamu berdua duduk berbincang elok-elok di sini. Abah tunggu di dapur." Putusnya memandang kepada Khusyairi dan kemudian Amishah.
"Mishah." Khusyairi memecah kesepian antara mereka. Cuma deru kipas angin di siling yang kedengaran sejak tadi. Sudah lebih dua puluh minit dia duduk, Amishah masih membeku di hadapan biliknya. Enggan duduk.
"Duduklah. Mishah kan mengandung."
"Tak payah. Saya keluar ni pun dah cukup baik." Dalam hati, dia sungguh-sungguh mahu duduk. Kakinya sudah mula lenguh tapi hatinya menolak untuk duduk menghadap muka Khusyairi yang setengah hatinya kata menyakitkan hati sedang setengah hatinya yang lain kata dia rindu.
Dia sebenarnya masih terkejut. Khalisah tidak pula memberitahunya apa-apa tentang kepulangan Khusyairi. Sedar-sedar saja, hatinya berdebar hebat tatkala mendengar suara seseorang di halaman tadi. Dia kenal suara yang satu itu.
"Mishah...abang..."
Jelingan Amishah cepat memintas. "Jangan berabang-abang boleh tak? Kita bukannya suami isteri, bukan juga adik beradik so please stop it."
"Mishah.."
"Kalau nak cakap, cakap ajelah."
"Abang...err...saya..." Aduh, terasa janggalnya hendak bersaya-awak dengan Amishah. Lainlah dulu, mereka berkawan jadi bolehlah mereka beraku-engkau. "Boleh tak benarkan abang bahasakan diri abang? Abang tak biasa."
"Tak biasa? Aku okey aje."
Degup jantungnya menjadi perlahan tiba-tiba. Aku? Oh, marah dan benci nampaknya sudah bersatu dalam diri Amishah. Ada lagikah peluangnya untuk merujuk semula?
"Please, Shah. Abang datang ni pertama sekali nak minta maaf. Abang tahu silap abang. Kita berbaik semula?."
"Semudah itu?."
"Okey." Khusyairi meletak kedua belah tangannya ke bahu Amishah. Amishah cuba menepis namun dia berkeras sehinggalah Amishah melabuh punggung ke sofa. "Memang abang bodoh sebab lepaskan Mishah. Abang silap dan abang ikut sangat perasaan abang. Tapi sekarang abang dah sedar. Abang masih cintakan sayang."
Dengus Amishah perlahan kedengaran. Tadi berabang sekarang bersayang? Mulut lelaki banyak yang tak jujur. Terlebih letak gula sampai manisnya melebih-lebih..sampai boleh membunuh.
"Masih cinta?."
"Ya, yang. Abang masih dan akan tetap cintakan sayang. Kita rujuk?."
p/s penaja : Aku dah cuba nak selesaikan konflik diorang dua ni. Korang boleh nampak tak perubahan +ve? Tak lama lagi, insyaallah cite ni akan tamat. Hihihi...kita sama-sama suka kan? U all suka bab dah tak perlu nyampah tunggu n3 n baca n3 yg tah apa2...aku suka bab x perlu fikir2 lagi dah......
Monday, November 29, 2010
Mr & Mrs BFF 62
Amishah menghentikan pergerakan tangannya. Dia memandang bagai tak percaya ke arah halaman rumah. sekilas Mak biah berpandangan dengan Haji Rusdi. Seseorang yang baru mengunci keretanya di halaman menimbulkan kehairanan pada semua.
"Assalamualaikum, abah, mak." Suara itu kedengaran cuba ditekan menjadi mesra namun agak menyakitkan telinga Amishah.
Haji Rusdi bingkas turun ke tangga. Menghulur tangan dan terus disalami Khusyairi. Amishah bergegas masuk ke bilik namun sempat terlihat dek Khusyairi yang sedari tadi meliarkan pandangan sehingga ke dalam rumah mencari kelibat Amishah.
"Bila kamu sampai? Tak dengar pun khabar berita?."
"Saya sampai malam semalam, abah. Dah lama tak apply cuti balik ke sini." Ujarnya cuba melempar senyuman pada Mak Biah namun bekas ibu mertuanya itu sekadar buat tidak nampak sebelum dia juga bergerak masuk ke dapur. Sakit hatinya memandang lagak anak lelaki Kamariah itu.
Kerana lelaki itulah, anaknya kini merana sendirian. Amishah satu-satunya anak perempuan mereka. Dia mahukan yang terbaik buat Amishah namun nampaknya Khusyairi tidak mampu memberi itu kepada anaknya.
"Mak ayah kamu apa khabar?." Suara Haji Rusdi tetap setenang dulu.
"Alhamdulillah, sihat. Sakit mak tu aje yang berkadang datang tapi sejak dah bawa ke hospital pakar ni, elok sikit."
Haji Rusdi terangguk-angguk. Dia sudah jarang bertembung dengan Latif di mana-mana majlis keramaian di kampung ini. Mungkin Latif sibuk agaknya dengan kerja. Di surau pun, bekas besannya memang semakin jarang kelihatan.
"Err..."
"Sekejap. Abah suruh mak kamu buatkan air dulu. Tetamu dari jauh sampai, takkan tak dijamu sikit pun." Ayatnya dipotong pantas. Tetamu? Liurnya terasa kesat sendiri. Nampaknya Haji Rusdi bukan lagi menganggapnya sebahagian daripada keluarga ini. Tapi,ah...memang kenyataannya mereka sudah tidak punya sebarang hubungan. Melainkan Haji Rusdi ialah datuk kepada bakal anaknya dan Amishah.
Sepemergian lelaki tua itu ke dapur, mata liarnya bergerak ke arah pintu bilik Amishah yang masih bercat putih. Senyap sunyi di dalam. Amishah pura-pura tidur agaknya. Sayang sekali dia tidak dapat melihat Amishah, dan kandungannya itu. Sihatkah dia? Kalaulah dia boleh mengunjungi Amishah di dalam biliknya itu...
"Mishah solat agaknya, Ri."
Kepalanya spontan kembali memandang ke hadapan. Ke arah Haji Rusdi yang sudah menanggalkan kopiahnya.
"Err....dia sihat? Anak kami macam mana?." Sungguh, dia mahu bertanyakan soalan itu sebenarnya namun kelibat Mak Biah dengan muka masamnya membatalkan niat Khusyairi. Dapat dia bayangkan reaksi bekas mentuanya itu kalau dia meneruskan soalannya tadi. Mungkin dia akan dibidas kasar.
Mak Biah menyusun dua biji cawan dan piringnya di atas meja. Teko air didekatkan pada Haji Rusdi. Sedikit pun pandangannya tidak singgah ke wajah Khusyairi, cukup mendebarkan hatinya.
"Abang tuangkanlah sendiri. Saya nak masuk ke dalam. Banyak kerja kat dapur tu."
"Awak ni....tuanglah. Itu kan memang kerja awak sejak dulu."
"Tak ingin saya nak lama-lama kat sini, bang." Sindir Mak Biah dengan bibirnya diherot penuh benci. Kalaulah Khusyairi bukan sekampung dengannya, memang habis disiramnya Khusyairi dengan kopi panas ini.
Khusyairi sekadar menelan liur yang terasa semakin kesat. Bagai menelan pasir rasanya. Dia tahu salahnya. Dan kebencian Amishah sekeluarga kini memang munasabah. Dia memang layak dilayan begini.
"Tak apalah, abah. Saya tuangkan sendiri." Dia mencelah akhirnya. Mak Biah menjeling sekilas sebelum berlalu kembali ke dapur. Tidak lama selepas itu, telinganya dapat mendengar pinggan mangkuk dihempas kasar ke atas meja.
"Maafkan mak kamu tu. Dia masih marah agaknya." Haji Rusdi bagai mengerti ketidakselesaan Khusyairi.
"Saya faham, abah. Saya yang bersalah."
"Lupakanlah semua tu. Benda dah lepas."
"Abah..."
"Bagi abah, abah dah lama maafkan kesilapan kamu. Biasalah, manusia memang melakukan kesilapan. Manusia mana yang tak pernah silap. Cuma apa yang penting, belajar dari kesilapan tu dan jangan sesekali ulangi lagi."
Khusyairi angguk saja. Dia tahu dan percaya itu. Sekali salah, itu silap. Dua kali salah, itu bodoh kerana mereka yang waras tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. Tidak ada orang yang jatuh ke dalam lubang yang sama sampai dua kali!
"Abah, kalau abah benarkan, saya nak bertanggungjawab atas kesilapan lama saya. Saya nak bertanggungjawab atas Amishah dan anak kami." Biarlah Amishah dengar, dan kalau boleh memang dia mahu Amishah mendengarnya.
"Kamu tak perlukan kebenaran abah, Ri. Itu semua memang tanggungjawab kamu sampai bila-bila kerana perhubungan anak dan ayah takkan pernah putus. Malah memang abah nak kamu bertanggungjawab pada anak kamu nanti. Dia memang..."
"Tak perlu, abah. Mishah tak perlukan tanggungjawab dia."
Haji Rusdi cepat menoleh namun Khusyairi lebih pantas lagi. Pandangannya bertaut dengan pandangan Amishah namun Amishah cepat memandang ke tempat lain.
~ Pendek? Membosankan? Dragging? ~
Monday, November 22, 2010
Mr & Mrs BFF 61 ~Edisi chipsmore
Dia menanti kehadiran Datuk Rahman dengan penuh debaran. Lelaki tua itu memberinya kebenaran untuk bercuti selama 3 hari tetapi dengan syarat mereka perlu berjumpa membincangkan sesuatu sebaik sahaja dia sampai ke Kuala Lumpur.
Sebaik sahaja selesai urusan menuntut beg tadi, Khusyairi menarik nafas dalam-dalam apabila terlihat seorang lelaki berkemeja putih siap bersongkok berdiri memegang namanya. Sampai bersambut?
“Datuk Rahman tunggu di pejabat. Boleh kita bergerak sekarang?.” Pak Akub mengerling Khusyairi dari cermin pandang belakang.
Mahu tidak mahu, dia mengangguk saja. Sebenarnya dia mahu berehat sebentar sebelum datang mencari Datuk Rahman sendiri. tapi bila sudah dia sampai disambut dengan tanda nama bersaiz besar, tahulah dia yang sesuatu yang akan mereka bincangkan sebentar lagi memang amat penting.
Tidak sampai sejam kemudian, dia sudah sampai ke pejabat Datuk Rahman. Pejabat tempatnya bekerja sebelum dia diarahkan mengetuai projek di Sabah. Pak Akub masih menanti di bawah bersama beg pakaiannya.
Memandangkan Datuk Rahman masih punya mesyuarat, dia mengambil peluang bertemu rakan-rakannya di tingkat bawah. Berbual dan bertanya perkembangan masing-masing. Tidak lupa juga dia menghulur sedikit buah tangan dari Kota Kinabalu.
“Ri, bos dah panggil naik tu.” Satu suara mencelah di antara perbualan mereka.
Khusyairi segera mempamit diri. Kalau boleh biarlah cepat perbincangan mereka selesai memandangkan dia mahu menaiki bas yang terawal jika dapat. Nanti tidaklah dia lewat sangat sampai ke pekan.
“Masuk, Syairi.”
Dia melangkah perlahan. Datuk Rahman memandangnya dengan wajah seolah tiada perasaan ini itu menambah perlahan langkahnya. Biasanya lelaki ini akan menyambutnya dengan mesra atau bila dia marah, Khusyairi boleh tahu dari riak mukanya yang tegang. Tapi kini, dia dihadapkan dengan riak wajah yang memang tidak mampu dia telah.
“Dah lama sampai?.”
“Dah hampir sejam. Tak apa. Saya difahamkan Datuk sedang mesyuarat tadi.” Kakinya dilunjur ke bawah meja.
Datuk Rahman mengangguk mengiyakan kata-kata itu. Sekilas matanya merenung ke wajah sedikit kemas Khusyairi. Kumisnya sudah hampir memenuhi kawasan antara bibir dan hidung.
“Let’s just go to the point.” Ujarnya. Khusyairi angguk saja. Belakang tubuhnya disandarkan ke belakang. Cuba menyelesakan diri yang semakin tidak keruan rasanya. Janganlah orang tua di hadapannya ini menghalakan perbincangan ke arah anak kesayangannya.
“Macam mana dengan life kamu dekat sana? Is everything okay?.”
He asked me about my life? Khusyairi sedikit gusar. Kalau dia tidak silap meneka, rasanya apa yang dia tidak mahu tadi akan terjadi sebentar saja lagi. Sebabnya bila Datuk Rahman menyebut life, itu sudah tentu bukan life di tempat kerja. Soal peribadi yang akan mereka perkatakan ini.
Oh, Tuhan….
“Syairi?.”
“Err…” nafasnya terasa sukar pula dihela. Kenapa perlu dirinya? “I’m just okay. Everything seems fine to me.”
Pandangan tajam menikam Datuk Rahman singgah ke wajahnya sekali lagi. Dia benar-benar tidak selesa. Ini lebih teruk daripada saat dia ditemuduga dulu. Datuk Rahman tiada saat itu dan mereka pula belum saling mengenali.
“Tapi Nurainah kata sebaliknya. Is she right?.”
Nurainah? Hah, benar telahannya tadi. Ini tidak lain tidak bukan pastilah berkaitan dengan anak kesayangannya saja. Nuraina gila, bapanya pun sama. Tuhan, kenapalah Engkau takdirkan wanita itu menyimpan perasaan kepadaku? Ya Allah…
“Nurainah?.”
“She told me every single thing about you, Syairi. How’re you doing, how’s your life. From A to Z.” Datuk Rahman semakin menekan.
Khusyairi mengerut dahi. Dia memang tahu itu. Anak manja macam Nurainah memang begitulah perangainya tapi yang menjadi kemusykilannya kini, sejauh mana Nurainah tahu semua tentang dirinya.
Tinggal pun berlainan kawasan. Mereka bukannya saban masa bersama. Apalagi sejak kebelakangan ini dia sering berjaya mengelakkan diri bertembung dengan Nurainah.
“Kamu ada masalah ke?.”
“Eh, tak ada apa-apa, Datuk. Saya okey. Saya tak tahu pula kenapa anak Datuk kata saya tak okey.”
“Are you sure?.”
“Yes I am, Datuk.”
“Hurmm..” pandangan Datuk Rahman beralih ke birai tingkap. Berpusing kerusinya membelakangkan Khusyairi yang semakin resah. Nampaknya hilanglah nikmat percutiannya kali ini.
“Tak apalah kalau macam tu. Cuma saya rasa kamu faham apa sebenarnya yang cuba saya maksudkan. You and Nurainah, do you still remember that?.”
p/s : Ini bukan sama sekali bermaksud post ini ditaja oleh chipsmore yer. takde kerjalah diorang kalau nak jadi penaja aku. chipsmore sebab kejap ada kejap xde. eh, kejap ada, lama xde...aku sekarang dah jadi suri rumah sepenuh masa kat kampung jadi peluang nak post tu memanglah tipis. almaklumlah, nak buka blog ni pun kalau ada rezeki, dapatlah view. kalau tak, problem loading page memanjang. harap korang faham dan tetap setia bersamaku!!!...I 'm so sorry...
Tuesday, November 16, 2010
Mr & Mrs BFF 60
Merasakan ada seseorang merenung, Amishah memusing kepala perlahan-lahan. Betul telahannya. Seseorang sedang berpura-pura membelek buku saat matanya tertangkap sedang merenung tadi.
Astaghfirullah…mengapa dengan dia?
Sejak kebelakangan ini, dia sudah mula merasakan sesuatu yang tidak kena dengan Ilyas. lelaki itu semakin cuba merapati dirinya hingga kadangkala mereka menjadi bahan usikan rakan-rakan. Itu belum lagi mereka tahu statusnya yang sudah bergelar janda. Kalaulah mereka tahu, Amishah tidak dapat membayangkan bagaimana pula rentak usikan mereka.
Dan Ilyas pula….oh Tuhan!!!
“Mishah, guru besar nak jumpa awak.” Bahunya terasa disentuh seseorang. Dia lekas mengangkat kepala.
“Sekarang?.”
Nadia mengangguk laju. “Ada benda nak beritahu. Awak pergilah. Sekejap nanti dia nak keluar ke Pejabat Pelajaran.”
Nak beritahu benda apa ya? Mesyuarat lagikah? Atau ada ibu bapa pelajar yang membuat rungutan tentang dirinya. Ah….namun dalam rasa letih, dia bangun juga. Sekilas mata itu masih memandang ke arahnya, Amishah sekadar menundukkan pandangan.
“Eh, kenapa monyok? Kena hentam ke?.” nadia dan Najihah saling berpandangan melihat Amishah berjalan masuk ke bilik guru bagaikan seorang ibu kehilangan anak.
“Tak.”
“Habis tu? Bendera jepun?.”
Bendera jepun apa kalau mengandung. Senyumannya muncul seketika. Biarlah dia kehilangan Khusyairi asalkan anak ini akan menemaninya sehingga dia tua kelak. Cukuplah daripada bersendirian menelan kedukaan demi kedukaan yang datang.
“Eh, tadi monyok. Tiba-tiba dah senyum balik.” Kali ini Najihah bukan sekadar memerhati. Dia datang membawa kerusi duduk di sisi Amishah.
Amishah menghembus nafas. Surat di tangannya diserahkan pada Najihah namun tangan Nadia lebih pantas merampas. Dan seperti yang dia jangkakan, mereka serentak menjerit tidak sampai seminit selepas membaca isi kandungan suratnya tadi.
“Macam berjodohlah pula.” komen Nadia dengan senyuman.
“Eh, yelah. Korang dah janji ke ni? Habis kenapa nak masam-masam, Mishah?.”
“Kenapa korang suka sangat padankan aku dengan dia ni? Aku ni dah berpunya. Dah jadi isteri orang. Tak baik korang usik macam ni.”
Sejak dulu lagi. Bukan mereka semua tidak tahu dia sudah berkahwin. Malah namanya sendiri sudah berganti Puan di pangkal. Tetapi semua rakan-rakan sejawatnya ini lebih suka memadankan nama Ilyas dengannya. Bukan dengan Khusyairi.
Dan kalau beginilah keadaannya, sumpah dia tidak sesekali akan membocorkan rahsia dirinya yang sudah pun berpisah dengan Khusyairi. Dia tidak mahukan Ilyas biarpun lelaki itu jauh lebih menarik berbanding Khusyairi.
Tapi dia sama sekali tidak menjadikan pekerjaan Khusyairi yang lebih hebat sebagai pertaruhan. Biar Khusyairi cuma kerani, dia tetap akan menyintai lelaki itu. Lelaki yang dia kenali luar dan dalam. Lelaki yang bisa membuat dia menjadi diri sendiri. lelaki yang dengan mudah akan membuat dia ketawa.
Cuma kini jodohnya sudah habis dengan Khusyairi. Mungkin…tapi akankah ada lagi peluang untuk mereka bersama? Akankah pula dia menerima peluang itu sekiranya ia hadir?
Ya Allah…apakah makna di sebalik semua aturan yang telah Kau tetapkan buat hambaMu ini, Tuhanku?
Dia mengaku, jauh…bukan..bukan jauh tapi dekat di hatinya yang kian sepi kini, dia masih memerlukan belai kasih bekas suaminya itu. Dia memang masih cintakan Khusyairi. Tapi Khusyairi sendiri yang tidak pernah menyintainya.
Kalau tidak, mengapa lelaki itu sampai membuat perjanjian dengan majikannya untuk tidak berkahwin dengan sesiapa melainkan anaknya?
Jadi kata sayang, rindu dan macam-macam lagi yang pernah ditaburkan Khusyairi dulu? Sampaikan dia mabuk kepayang, dirasuk kata romantis Khusyairi dan rupa-rupanya semua itu cuma palsu?
“Mishah, kau menangis? Ya Allah, sorry..sorry sangat-sangat. Kami minta maaf. We’re just kidding, honey. Sorry.”
Kedua-dua gadis muda itu menerpa ke arahnya. Hujung jari Najihah sudah sampai ke pipinya mengesat sesuatu.
Aku menangis?
p/s penaja yang sedang dalam kesedihan : Salam aidiladha...masih x panjang kan? huhu..Nurul, u dah jadi inspirasi akak tuk berusaha memanjangkan n3..hehe...nanti u mengata agi..huhu...nak nangis ni...(Hehe..xdelah...memang betul pun Nurul kata tu)....selamat membaca, korang. Esok aku nak balik kampung. esok kan raya? sapa nak ikut???
Monday, November 15, 2010
Mr & Mrs BFF 59
Dia lupakan pandangan marah Nurainah tengah hari tadi. Sebaik sahaja jam menginjak ke pukul 5, dia bergegas meminta diri hinggakan Aisya memandang pelik padanya.
Untuk pandangan pelik menagih penjelasan itu, Khusyairi sekadar tersengih sendiri. dia sengaja mahu pulang awal supaya Nurainah tidak sempat mencarinya. Nanti digertaknya lagi supaya dia mengikut anak gadis Datuk Rahman itu ke sana ke mari. Malas! Buat apalah dia menyusahkan diri melayan Nuraina yang sudah pasti menyebalkan hati itu.
Lewat pukul enam, dia sudah berada di rumahnya. Melihat peti sejuk yang kosong sedangkan perutnya pula mula berbunyi, akhirnya dia menekan nombor telefon Mc Delivery.
“Burger pun burger lah.” Detiknya dalam hati.
Hendak memasak pun, bukannya ada apa-apa di dalam peti sejuk yang boleh dibuat makan. Hendak turun ke pasar, jangan harap. Kalau ke restoran sendirian pun, serupalah macam makan di rumah.
Dengan perut kosong yang semakin pedih, dia mengisi masa lapang itu melayari internet. Bergerak dari Berita Harian Online ke blog yang sering dia kunjungi sebelum akhirnya dia terhenti pada laman web Malaysia Airlines.
Tiada apa sangat promosi yang ditawarkan namun tetikusnya sudah dihalakan ke arah ‘departure’. Sudah lama dia tidak pulang ke Kuala Lipis. Hampir enam bulan.
Departure : Kota Kinabalu
Arrival : Kuala Lumpur
Dia memilih-milih tarikh yang sesuai untuknya memohon cuti. Paling elok sama ada hari khamis dan jumaat atau isnin dan selasa. Jadi dia ada 4 hari tempoh bercuti. Dan kalau Datuk Rahman lapang dada, boleh dia minta cuti sampai 5 hari. Melepas lelah di kampung dan boleh juga…
Wajah mulus Amishah berlayar pantas ke ruang fikirnya. Apa khabar Amishah ya? Kandungannya bagaimana?
Hari itu dia baru berniat mahu bertanya khabar dan berbual santai namun Amishah sudah mematikan talian. Tidak rindukah Amishah padaku sebagaimana aku semakin terasa begitu padanya?
Bayi yang sedang dikandungnya itu anak mereka bersama. Kalau dia tidak salah, tidak lama sahaja lagi Amishah akan melahirkannya. Sekilas senyuman terlukis di bibir. Tidak disangka-sangka, dia dan Amishah bakal bergelar papa dan mama. Sebagaimana yang dia selalu bisikkan pada Amishah dulu.
Akan mengikut iras siapa anak itu ya?
Hurm, kalau matanya, biarlah menyerupai mata Amishah yang galak. Bulu matanya pun lentik. Kalau kulit, elok ikut warna kulitnya yang tidak terlalu cerah dan tidak pula gelap. Hidung….kalau serupa mamanya, mesti comel!
“Shah…”
Tapi akankah Amishah menerimanya semula? Setelah apa yang dia lakukan. Menceraikan Amishah hanya kerana dia tidak diberitahu tentang kehadiran bayi mereka dan ditambah pula dengan sikap diam diri Amishah yang semakin lama semakin cuba menjauhkan diri.
p/s penaja : Okey..okey, aku tau...pendek kan? ala, kak tyea, x puas baca, baru nak feel...sambung cepattt....yelah, dah arif dah tp ini jer yg aku mampu tau. huhu...n entah2 ada yang kebosanan bab shah dan ri x juga bersama..sabar ya, belum sampai masanya agi..Huhu..apapun, tq sampai ke bawah ni...sayang u all...(^_^)
Popular Posts
-
Macam tu ke caranya??? Amishah mundar-mandir. Dari satu sudut dia berjalan ke sudut lain hingga akhirnya dia sendiri yang berhenti bila tera...
-
Aku pun tak tau lah nak cakap macam mana lagi dah. Mak ngan ayah ni memang cari pasal. Cari gaduh. Dah tau aku ni sarang tebuan,...
-
“Jom, liya. Ikut saya pergi meeting.” “Hmm..okay.” “Kenapa tak bersemangat aje ni? Tak sihat?.” “Penatlah, bos. Kerja yang bos bagi kelmarin...
-
"Macam mana tadi? semuanya okey?." Khusyairi melonggarkan tali leher yang terasa menjerut itu. Sengaja dia mendiamkan diri seketik...
-
“Abang, marilah jumpa Auntie Sarah dengan Uncle Mansur dulu.” Syed Uthman Affan yang baru mahu melangkah naik ke atas melangkah lambat-l...
-
~ Ish, nampak tajuk mcm novel...tapi tetap bebelanku juga yg muncul dulu...kekeke..jangan marah. Aku dah sekian lama tak post apa2 cerita de...
-
Hallu..sorrylah lambat pula update yer? Hihi..sibuk sebenarnya.Almaklumlah, guru sejati yg komited gitu..Yerk..haha..tadi pun sibuk dengan u...
-
salam, jemput baca semuanya..hihi..oh ya, kita berpisah dulu satu dua hari ni sebab laptop kesayangan aku ni adik bongsu nak pinjam, nak s...
-
“Mama minta maaf banyak-banyak. “ Aku terkedu masih berdiri di muka pintu. Wanita ini yang datang memaki hamun enam tahun lepas. Wanita somb...
-
Abahnya lelaki yang paling dia hormati. Haji Rusdi menjadi sanjungannya sejak kecil. Tetapi dalam hal ini, Haji Rusdi terpaksa dibelakangkan...
