Klik?

Maha Suci Allah

Maha Suci Allah
Powered By Blogger

Kata saya...

MAAF. MAAF. MAAF.

1. Andai terlewat update.
2.Andai terlalu pendek.
3.Andai tak memuaskan hati.

Monday, February 8, 2010

Mr & Mrs BFF 7

Sambil menyelam, minum air?

Mak Biah ralit menabur nasi yang sudah basi ke laman belakang. Anak-anak ayam pelbagai rupa datang menyerbu. Mematuk apa saja yang dapat. Kalau sudah diberi makan, kerja-kerja memasukkan mereka ke dalam reban akan jadi tersangatlah mudah.

Sedang asyik menabur nasi, dia menoleh apabila terdengar bunyi enjin kereta dimatikan. Sebuah kereta Proton Waja berhenti betul-betul di bawah pokok rambutan. Senyuman Mak Biah terukir segera. Lekas-lekas dia ke arah paip membersihkan tangannya.

“Assalamualaikum, kak.”

“Waalaikumsalam. Kamu rupanya ya, Mariah.” Sapanya senang. Tangan dihulur segera sebelum disambut dan dicium penuh hormat oleh Kamariah.

“Akak bagi ayam makan ke?.”

“Apa lagi, Mariah. Akak ni pun duduk rumah melangut tak buat kerja, bosan. Abang Rusdi kamu pula asyik sibuk dengan kelas mengajinya tu.” Suaminya itu sejak bersara daripada menjadi guru sekolah menengah, lebih suka mengajar anak-anak kampung belajar membaca al-quran.

Kamariah ketawa kecil mendengarkan leteran besannya. Dia sendiri pula asyik keletihan. Dari pagi hingga ke petang di pejabat. Sampai di rumah pula perlu memasak, mencuci. Memang dia letih. Mujurlah cuma dia dan suaminya yang ada di rumah. Khusyairi sudah bekerja di Sabah. Khuzaimi pula duduk di asrama. Begitu juga dengan Khalisah.

“Eh, akak ni lupa nak jemput kamu naik. Mari naik ke ataslah. Tak elok berbual dekat laman ni aje. Tak hormat tetamu betul.”

“Alah, tak mengapalah, kak.” Kamariah cuba menolak. Dia sebolehnya tidak mahu menyusahkan besannya yang begitu baik ini. Bukan dia tidak tahu, Mak Biah kalau sudah melayan tetamu, tidak sah kalau tak ada minuman dan kuihnya sekali. “Tak usah susah-payah. Saya singgah sekejap aje ni.”

“Apa pula susahnya, Mariah. Jom kita naik dulu. Dekat atas tu ada kipas angin. Sejuknya lain daripada sejuk dekat bawah ni.”

Mahu tidak mahu, Kamariah menurut juga. Mak Biah sudah meniti anak tangga batu dengan pantas. Sunyi sepi ruang tamu rumah besannya agak menghairankan. Semasa dia sampai tadi, dia sudah tercari-cari kereta Myvi Amishah. Namun garaj di tepi rumah ini cuma ada kereta Proton Wira Haji Rusdi.

“Menantu kamu tu ada kerja lebih dekat sekolah, Mariah.” Bagai mengerti pandangan Kamariah, Mak Biah terlebih dahulu memberi penjelasan.

Amishah cuma sempat balik solat dan makan tengah hari sebentar sebelum bergegas kembali ke sekolah. Katanya ada aktiviti ko-kurikulum. Dia sendiri kurang faham sebenarnya perihal aktiviti sekolah walau suaminya sendiri juga pernah berkhidmat sebagai guru.

“Dia tak balik sejak pagilah maksudnya, kak? Tak sempat nak makan?.”

“Balik sekejap. Sempat juga makannya sekejap.”

Keluhan terlepas dari bibirnya tanpa sengaja. Dia sayangkan menantu sulungnya itu. Anak gadis yang sangat ideal dijadikan menantu walaupun tidak menyarung tudung. Selamba tapi sangat pandai menguruskan rumah tangga.

“Kesiannya dia. Dahlah baru kahwin, kena berpisah jauh pula dengan suami. Ini kerja pula menimbun banyaknya.”

“Alah, tak mengapa. Bukannya selalu. Ada aktiviti kokurikulum tu.” Pujuk Mak Biah.

“Kita salah pilih tarikh agaknya ya, kak masa nak nikahkan diorang dulu. Sepatutnya awal-awal cuti sekolah kita dah nikahkan dah. Sekurang-kurangnya dapatlah budak berdua tu berkepit lama sedikit.”

“Mariah.” Mak Biah tergeleng-geleng. Tangan Kamariah digenggam erat penuh kasih. “Semuanya dah ditakdirkan. Dah memang tertulis diorang akan bersatu di hujung cuti tu. Tak apalah. Cuti sekolah nanti, akak suruhlah Mishah ke KK. Jumpa Khusyairi.”

Kalau boleh, mahu saja dia meminta Amishah ke Sabah saban hujung minggu namun apalah sangat duit gajinya hendak dihabiskan berulang-alik naik kapal terbang. Khusyairi pun bukanlah kaya benar. Setakat gajinya sebagai jurutera di sana, boleh bermewah sendiri saja.

“Saya ni bukannya apa, kak.”

“Kenapa?.”

“Yelah. Orang kalau dah duduk berjauhan ni takut kurang kasih-sayangnya nanti. Jauh di mata, takut jauh juga di hati.”

Keluhan Kamariah itu menyentuh juga di hatinya. Kerisauan Kamariah berasas. Memang banyak pasangan yang kedengarannya berpaling tadah bila sudah asyik berjauhan. Jarang-jarang bertemu. Takut di tempat masing-masing nanti, ada insan lain yang lebih banyak memberi perhatian.

“Entahlah, Mariah. Akak ni kalau dengar kata-kata kamu tu, takut juga sebenarnya. Maklumlah budak-budak berdua ni pun muda lagi. Jiwanya lain.”

“Tak ada ke caranya supaya mereka berdua dapat bersatu?.”

“Akak ni tak ada pengaruh, Mariah. Kalau nak pindahkan Amishah ke Sabah, takut nanti Khusyairi kena pindah semula ke sini pula. susah nanti nak bertukar lagi.” Lainlah kalau dia punya hubungan rapat dengan mana-mana orang besar di Pejabat Pelajaran Daerah Lipis.

Khusyairi pula dua kali lebih susah hendak merayu kembali ditugaskan di Pahang ini atau di Kuala Lumpur sekurang-kurangnya. Kompeninya kekurangan pekerja mahir untuk bertugas di cawangan mereka di Kota Kinabalu sana.

“Sama-sama ajelah kita berdoa, minta keduanya dapat teruskan perkahwinan ni sampai ke akhir hayat. Moga bahagia berdua.”

“Moga-moga kita akan dapat cucu ya, kak.”

“Insyaallah. Itulah doa akak tiap kali solat, Mariah. Mudah-mudahan Allah s.w.t sudilah terima permohonan akak tu.”

“Amin, kak. Lagipun kalau dah ada anak nanti, ikatan tu insyaallah akan jadi lebih eratlah hendaknya.”

“Yelah. Nanti akak bincangkan semula dengan abang Rusdi kamu. Macam mana kalau kita hantarkan Amishah bercuti dekat KK tu. Boleh juga tolong jaga makan pakai suaminya sekejap.” Mak Biah senyum sendiri. Insyaallah kalau setakat sekali pergi, mereka suami isteri masih mampu membelikan tiket kapal terbangnya.

“Betul juga tu, kak. Sambil menyelam, minum air.”



Pokok tak bergoyang kalau tak ada angin…

Selangkah kakinya keluar dari kereta, Khusyairi dikejutkan dengan deringan telefon di dalam poket kemeja. Kelam-kabut langkahnya diatur menuju ke arah tangga sambil mencapai telefon.

“Hello?.” Sapanya tanpa sempat memerhatikan nama si pemanggil.

Anak tangga terus didaki. Rumahnya di tingkat tiga. Ada dua tingkat lagi perlu didaki. Penat memang penat tetapi sekurang-kurangnya ada privasinya yang tersendiri duduk di atas. Kebetulan pula dia cuma duduk seorang.

“Assalamualaikum, Ri.”

Ri? Matanya spontan membulat. Langkah kaki semakin laju mahu cepat sampai. Dalam hidupnya cuma ada seorang manusia yang memanggil namanya daripada Khusyairi menjadi sependek itu.

“Waalaikumsalam. Kejap ya, shah. Tunggu kejap bolehkan?.”

“Lah, aku ganggu kau ke ni? Macam rushing aje?.” Suara Amishah di hujung talian kerisauan sendiri.

Soalan itu dibiarkan tanpa jawapan. Semakin cepat dia melangkah dan akhirnya terus berlari. Mencapai kunci dan terus memasukkannya ke dalam lubang kunci. Kasutnya dibiarkan saja di luar.

“Okey..okey…cakaplah.” Khusyairi menghempas badan ke sofa. Penat berlari membuatkan nafasnya sedikit sesak.

“Kau buat apa tu? Semacam aje bunyi nafas. Macam orang tengah…”

“Tengah apa?.”

“Hurmm…tak adalah. Harap-harap kau taklah buat benda bodoh macam tu. Tapi aku tak mengganggu kerja kau ke ni, Ri? Macam busylah pula.” Dia tahu Khusyairi bukan bekerja ikut waktu pejabat sepanjang masa. Kerja jurutera macam Khusyairi kadang-kadang kena stay di pejabat sampai malam.

Sengihannya muncul di bibir. Amishah..Amishah…Macamlah dia tidak tahu apa yang ada dalam fikirannya itu.

Lagi pun dia sendiri masih kenal dosa pahala. Masih tahu halal haram. Kalau pun kesepian, masakan hendak memilih jalan bernoda begitu.

“Jangan risaulah untuk dua-duanya tu.”

“Meaning?.”

“Yelah. Aku tak kerja and aku tak buat benda tu. Aku tahu apa yang kau nak cakapkan tadi.” Ujarnya selamba. Amishah selalu boleh berfikiran negatif begitu padanya. Aku ni nampak gatal sangat ke?

“Baguslah kalau kau tak buat. Tak adalah sia-sia aku percayakan kau, Ri.” Di hujung sana, ketawa kecil Amishah kedengaran perlahan.

“Yalah tu. Kau sihat ke? Dah makan? Sekolah macam mana?.”

“Weik, banyaknya soalan. Tak terjawab wife kau kat sini.”

Mendengar kata-kata lelucon yang dia tahu benar cuma gurauan bagi Amishah itu, hatinya tiba-tiba bergetar. Wife…rindu yang terkabus dek kesibukan beberapa hari ini mula memunculkan diri. Selepas dia kembali ke Sabah ini minggu lepas, baru hari ini mereka dapat berbual di telefon. Kini setelah mendengar suara itu, ada sesuatu di dalam hatinya yang benar-benar teruja.

“Okey, dear. Sorry. Aku ulang balik. Kau sihat tak?.” Khusyairi ketap bibir. Kepalanya perlahan-lahan direbahkan ke sofa.

“Er…sihat. Alhamdulillah. Aku tak makan malam ni sebab petang tadi dah makan dengan kawan-kawan. Kerja dekat sekolah macam biasalah. Sibuk macam selalu. Budak-budak gitu juga. Yang nakal masih nakal, yang bijak masih bijak.”

“Dah makan? Dengan kawan mana?.” Perasaan terujanya sebentar tadi sedikit terganggu mendengarkan berita itu. Bukan niatnya mahu jadi penyibuk. Dia tahu Amishah berkawan baik dengan Najihah seorang tapi disebutnya tadi kawan-kawan. Maknanya bukan hanya Najihah.

Amishah pun bukannya jenis yang lekat dengan perempuan sepanjang masa. Ramai-ramai kawannya sejak kecil, boleh dibilang dengan jari kawan perempuan. Cuma Aida dan Najihah. Selebihnya dia sendiri, Rafiq, Kid, Jimmy, Din, Aliff, Khalid, Andak.

“Dengan cikgu-cikgu sekolah ni juga. Dengan Jie. Ada Ustaz Mahadi, cikgu Ilyas, cikgu Nuraina.”

Khusyairi angguk-angguk. Cuma mengingat bagaimana rupa orangnya yang disebut Amishah. Yang dia kenal cuma Nuraina dan Najihah. Ustaz Mahadi pula suami Nuraina. Jadi Ilyas itu siapa? Guru baru?

“Cikgu Ilyas tu handsome tak?.” Soalnya tiba-tiba dan sebaik saja mendengar jeritan marah Amishah, dia hanya mampu menggigit bibir.

“Apa tanya soalan macam tu? Kau ingat aku nak mengurat cikgu tu ke? mulut tu kenalah insuranskan sikit. Benci tau.”

“Err..”

“Itulah kau. Macamlah kau tak tahu aku memang selalu hang out dengan lelaki. Ada ke pernah aku mengurat diorang? Kita selalu keluar, melepak sama sampai berjam-jam tu, ada aku mengurat kau? Tak ada, kan? Aku cuma berkawanlah. Itu pun salah ke bagi kau? Hah, Ri?.”

“Shah..shah..” Aduh! Kepalanya ditepuk geram. Bila Amishah sudah bercakap tak berhenti-henti begitu, dia tahu Amishah memang sudah cukup geram. “I’m so sorry, babe. Aku tak sengaja. aku main-main aje tu.”

“Hah, lagi satu. Stop calling me dear or what. I’m not your ‘dear’.”

Klik. Talian sudah diputuskan sebelum sempat dia mahu membalas apa-apa. Marah benar Amishah nampaknya.

Senyap sunyi suasana. Perlahan-lahan dia bangun menghidupkan lampu kalimantang di ruang tamu. Letih yang sudah hilang tadi menjelma kembali.

No comments:

Post a Comment

cakap aje..saya layan..

Popular Posts